Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam bidas k'jaan Singapura dakwa Nagaenthran tak alami masalah mental
Diterbitkan:  Nov 4, 2021 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Peguam hak asasi yang mewakili keluarga Nagaenthran K Dharmalingam - yang kini sedang menunggu hukuman mati di Singapura atas kesalahan penyeludupan dadah - mengkiritik kenyataan Kementerian Dalam Negeri (MHA) negara itu bahawa anak guamnya tidak mengalami gangguan mental ketika melakukan jenayah itu.

N Surendran menegaskan yang menjalankan hukuman terhadap sesiapa yang mengalami ketidakstabilan mental bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

"Pertama, MHA bergantung kepada fakta yang mahkamah Singapura mendapati tanggungjawab mental Nagaenthran atas jenayahnya tidak terganggu, dan maka tiada pihak yang patut menentang hukuman gantung terhadapnya.

"Bagaimanapun, MHA sengaja mengelak hakikat yang mahkamah juga mendapati Nagaenthran mengalami masalah fungsi intelektual (borderline intellectual functioning) dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), memiliki skor IQ pada tahap 69, dan kemahiran pemfungsian eksekutifnya terganggu," kata Surendran dalam kenyataan.

Nagaenthran, 33, yang disahkan sebagai lembam adalah banduan yang menunggu hukuman mati di Penjara Changi dan dijadualkan digantung sampai mati pada Rabu depan (10 November).

Media Singapura, Today Online melaporkan MHA sebagai berkata, mahkamah mendapati tanggungjawab mental Nagaenthran atas kesalahannya sebahagian besarnya tidak terganggu dan jelas faham apa yang dilakukannya adalah jenayah.

N Surendran

MHA juga berkata Malaysia telah mereka-reka dakwaan yang dia melakukan perkara itu dalam tekanan.

Nagaenthran dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan menyeludup 42.72 gram dadah jenis heroin. 

Surendran yang juga penasihat Lawyers of Liberty (LFL) menyifatkan respons MHA sebagai "robotik" dan tidak menyentuh kerisauan awam.

"Menjalankan hukuman terhadap individu dengan sebarang kekurangan mental atau intelektual adalah melanggar kelaziman undang-undang antarabangsa. Ia juga tidak beperikemanusiaan.

"Ini adalah bantahan dan kerisauan nyata oleh orang yang berfikiran munasabah, di Malaysia dan juga Singapura, terhadap rancangan hukuman terhadap Nagaenthran.

"Ini sebabnya warga Singapura mengumpul dana untuk keluarga dan warga Malaysia membuat bantahan awam mutakhir ini," katanya lagi.

Katanya lagi, MHA juga tidak menyentuh soal kekurangan mental dan intelektual Nagaenthran.

"Sebaliknya, mereka cuba menggambarkan lelaki dengan tahap intelektual kanak-kanak ini sebagai penjenayah yang licik, dalam usaha terdesak untuk mencetuskan kemarahan di kedua-dua negara," katanya lagi.

Pada masa ini, petisyen dalam talian untuk menggesa Presiden Singapura Halimah Yacob memberi pengampunan kepada Nagaenthran telah meraih 46,000 tandatangan.


Baca: Deepavali terakhir di Singapura buat Nagaentran


Petisyen rasmi yang dihantar kepada Halimah pula tidak berjaya.

NGO Transformative Justice Collective yang berpangkalan di Singapura mengadakan kempen mengutip derma untuk membolehkan keluarga Nagaethran ke republik itu untuk melihatnya buat kali terakhir.

Kempen itu berjaya mengutip hampir dua kali ganda daripada jumlah SG$9,900 yang disasarkan.

Menerusi dana itu, wang berkenaan kini akan digunakan untuk menguruskan segala dokumen, membiayai tiket penerbangan, penginapan, makan, pengangkutan dan ujian RT-PCR untuk empat ahli keluarganya termasuk Panchalai.

NGO Malaysia Against Death Penalty and Torture (Madpet) pula mengkritik notis dua minggu yang diberikan kepada pihak keluarga berkenaan penjalanan hukuman itu.

Mereka berkata, pihak keluarga dan rakan seharusnya diberi peluang dan hak untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum hukuman dilaksanakan.

"Orang yang dihukum mungkin bersalah, tetapi jangan lupa hak keluarga dan rakan, yang merupakan mangsa tidak bersalah terhadap keadaan di mana Singapura mempunyai kawalan penuh," kata wakilnya Charles Hector.

Charles mencadangkan tarikh hukuman ditangguhkan.

Dia juga membangkitkan beberapa perkara, antaranya jumlah dadah iaitu 42.27 gram - bersamaan dengan tiga sudu besar - yang turut dikenakan hukuman sama terhadap individu yang menyeludup 10 kilogram dadah.

Katanya lagi, aspek kekurangan mental Nagaenthran juga kekal menjadi isu dan sekurang-kurangnya hukuman itu perlu ditukar kepada penjara seumur hidup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS