Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN S'wak: Muda gesa tangani isu harga tiket hingga 6 kali ganda
Diterbitkan:  Nov 4, 2021 9:58 AM
Dikemaskini: 1:58 AM

Muda Sarawak berkata beberapa kebimbangan perlu ditangani ketika kerajaan negeri mendesak untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Ini selepas Yang Di-Pertuan Agong semalam menarik balik darurat tempatan di Sarawak yang menangguhkan PRN sehingga Feb 2022, membuka laluan kepada pilihan raya baru dalam tempoh 60 hari.

Muda Sarawak berkata antara kebimbangan termasuk kos penerbangan, yang telah melonjak berikutan perjalanan terhad semasa pandemik Covid-19.

"Pastikan tiket penerbangan pada harga yang berpatutan untuk memudahkan rakyat Sarawak mengundi di kawasan mereka serta menyediakan prosedur yang sesuai bagi rakyat yang berkuarantin pada hari pengundian kelak untuk memastikan undi mereka tidak tercicir," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada Selasa melaporkan kepada Parlimen bahawa tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak berharga sehingga enam kali ganda antara 2 Nov dan 8 Nov.

“Harga tiket ke Sarawak yang lebih tinggi adalah hasil daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada usaha mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Muda Sarawak mempersoalkan alasan kerajaan negeri tergesa-gesa mengadakan PRN sebelum tahun depan, apabila umur baharu mengundi 18 tahun, yang diturunkan daripada 21 tahun, akan berkuat kuasa.

Pendaftaran pengundi automatik juga akan dikuatkuasakan tahun depan.

Pengkritik telah menuduh kerajaan Sarawak tergesa-gesa mengadakan PRN untuk menghalang kumpulan baharu pengundi ini daripada mengundi.

Muda Sarawak menyatakan bahawa walaupun Yang Di-Pertuan Agong telah menarik balik darurat, baginda telah melahirkan kebimbangan mengenai kesan pandemik Covid-19 jika pilihan raya negeri diadakan.

Baginda telah bertitah bahawa ia adalah satu keputusan yang "sukar dan rumit" tetapi menarik balik darurat itu selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud.

"Muda Sarawak bersetuju dan berkongsi kegusaran yang sama seperti Seri Paduka Baginda mengenai risiko peningkatan penularan Covid-19 sekiranya PRN Sarawak diadakan," katanya.

Muda Sarawak berkata jika pilihan raya diteruskan, mesti ada masa yang mencukupi untuk mengundi atau pusat pengundian yang mencukupi bagi mengelak kesesakan.

Ia menambah bahawa pegawai kesihatan mesti hadir, termasuk di kawasan pedalaman.

Selain itu, ia berkata kempen harus dilakukan secara digital sepenuhnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS