Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Lazimnya, musim perayaan akan digunakan untuk pulang ke kampung halaman untuk melawat sanak saudara dan sahabat handai,

Namun tidak bagi Panchalai Supermaniam. Hasratnya semata-mata mahu ke Singapura hujung minggu ini untuk melihat anak lelakinya, Nagaenthran K Dharmalingam.

Ia adalah pertemuan pertama mereka dalam hampir tiga tahun dan juga mungkin yang terakhir.

Nagaenthran, 33, yang disahkan sebagai lembam adalah banduan yang menunggu hukuman mati di Penjara Changi dan dijadualkan digantung sampai mati pada Rabu depan (10 November).

Sebagai tukang cuci, saki baki cuti tahunan Panchalai, 59, tidak banyak. Dia akan menggunakan cuti Deepavali untuk perjalanan itu.

Keluarga mereka hanya mengetahui tarikh hukuman mati tersebut pada minggu lalu, iaitu pada 26 Oktober menerusi e-mel daripada Perkhidmatan Penjara Singapura.

Kakak sulung Nagaentran, Sharmila Dharmalingam berkata, dia menangis apabila pertama kali mendengar berita tersebut - bimbang sama ada mereka sempat berjumpa dengannya atau sebaliknya - sebelum nyawa adiknya itu dicabut.

Dia tidak pasti bagaimana dan tidak tahu menahu tentang peraturan serta undang-undang perjalanan semasa penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

Bagaimana mereka mahu mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan tepat pada masanya?

Mampukah mereka meminjam wang untuk membiayai perbelanjaan perjalanan tersebut dan perlukan mereka menjalani kuarantin?

“Ini adalah cuti Deepavali. Saya tidak tahu bagaimana (pihak berkuasa di) Singapura membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman itu pada 10 November.

“Ini bukan masa yang sesuai juga kerana ia adalah semasa pandemik Covid-19. Mereka tidak memikirkan betapa sukarnya untuk ahli keluarga.

"Kami bukan daripada keluarga kaya," kata suri rumah itu kepada Malaysiakini dalam satu temu bual telefon, baru-baru ini.

Menurutnya, segala wang lebihan yang tidak seberapa telah dibelanjakan untuk persiapan Deepavali, yang jatuh pada esok, 4 November.

Pada 2011, Nagaentran dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar 42.72g diamorphine di Singapura dua tahun sebelum itu. Heroin diperbuat daripada diamorphine.

Menurut Lawyers for Liberty (LFL), sebuah NGO bantuan guaman yang mewakili keluarganya di Malaysia, Nagaentran hanya mempunyai IQ pada catatan 69.

Catatan itu adalah bacaan IQ yang jauh lebih rendah daripada purata manusia dan boleh dikategori sebagai lembam atau seseorang yang kurang upaya inteleknya.

Sejak tarikh hukuman mati Nagaethran diketahui, beberapa kumpulan telah menggesa kerajaan Singapura untuk membatalkan hukuman mati itu.

Antaranya, adalah The Anti-Death Penalty Asia Network (Adpan) yang mengesakan bahawa dengan menggantung Nagaethran, Singapura akan mencabuli konvensyen antarabangsa.

“Desakan untuk mensabitkan, menghukum dan menggantung samapi mati terhadap seseorang yanglembam melanggar kewajipan Singapura di bawah Konvensyen PBB mengenai Hak Orang Kurang Upaya yang diratifikasi republik itu pada 2013,” katanya.

Sementara itu, LFL pula menggesa Putrajaya supaya campur tangan.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk membuat representasi yang diperlukan kepada pihak berkuasa Singapura untuk menyelamatkan Nagaentran daripada hukuman gantung.

“Ia adalah pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, malah melayakkan Malaysia membuat aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa,” kata Pengarah Eksekutif LFL, N Surendran.

Petisyen dalam talian yang memohon Presiden Singapura Halimah Yacob mengampuni Nagaenthran juga telah memperolehi hampir 32,000 tandatangan setakat jam 1 petang tadi.

Satu lagi kumpulan NGO - Transformative Justice Collective yang berpangkalan di Singapura - mengadakan kempen mengutip derma untuk membolehkan keluarga Nagaethran ke republik itu untuk melihatnya buat kali terakhir.

Kempen itu berjaya mengutip hampir dua kali ganda daripada jumlah SG$9,900 yang disasarkan.

Menerusi dana itu, wang berkenaan kini akan digunakan untuk menguruskan segala dokumen, membiayai tiket penerbangan, penginapan, makan, pengangkutan dan ujian RT-PCR untuk empat ahli keluarganya termasuk Panchalai.

Urusan membawa pulang jasad lelaki itu dan pengebumian juga telah diambilkira.

Dengan beban kewangan dan logistik terlepas dari bahunya, Sharmila berkata dia sangat berterima kasih dan lega.

Bagaimanapun, dia tidak akan ke Singapura kerana terpaksa tinggal di Ipoh, Perak untuk menjaga anak dan rumahnya.

Walaupun bersedia untuk menerima sebarang berita duka itu dan tidak sabar untuk melihat Nagaethran buat kali terakhir melalui panggilan video, jauh di lubuk hatinya Sharmila berharap abangnya akan selamat.

“Saya harap ini (gantung) tidak akan berlaku. Saya harap dia akan pulang,” katanya.

Deepavali bermaksud Pesta Cahaya. Namun tidak pasti sama ada harapan keluarganya akan bercahaya atau mereka akan terpaksa merintih dalam kegelapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS