Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Mengenang Sophia Loren di tengah 'Kolepih'

ULASAN | Berbeza daripada daerah lain di hilir Pahang, loghat pertuturan kami di Kuala Lipis ini memang agak berbeza. Di hulu ini cara pertuturan kami seakan-akan loghat Perak Tengah. Seperti Kuala Kangsar, misalnya.

Dan sementelah pula Kuala Lipis ini bandar kembarnya Kuala Kangsar.

Satu lagi keunikan kami terutamanya dalam kalangan orang tua-tua dahulu ialah, mereka banyak menggunakan perkataan Inggeris dalam pertuturan seharian. Terutama bagi nama tempat dan jabatan kerajaan.

Perkataan itu kemudian dibunyikan dengan telo Melayu daerah kami.

Contohnya orang tua-tua dahulu tidak menyebut pejabat pos tetapi "postopih" sempena mengambil istilah post office. Police station dibunyikan "polihsetesen". Sekolah Menengah Clifford bunyinya jadi "keliped sekul".

Cuma sekarang ini budaya pertuturan loghat orang dahulu semakin sirna ditelan masa dan peredaran zaman. Konon-kononnya sekarang anak cucu malu disendakan sebagai 'orang darat'.

Maka berlumba-lumbalah ramai orang cuba menjadi orang Barat.

Sebutan kami bagi nama bandar Kuala Lipis ini berbunyi "Kolepih", atau biasanya "Lepih" sahaja untuk lebih ringkas. Lepih itu berbunyi ala Perancis sedikit dengungnya.

Terkenal dalam kalangan pengembara 

Yang sebetulnya Lepih ini memang pernah mendapat jolokan nama Paris of the East. Bukannya Little London seperti cuba disohorkan oleh orang sekarang. Little London itu sebenarnya gelaran yang merujuk Bukit Fraser.

Bandar tua Lepih wujud sedari zaman Residen Tuan Keliped (Clifford) memang ada romantis larisnya suatu ketika dulu. Ia berasal daripada sebuah pekan koboi yang tidak pernah tidur.

Keadaan itu pernah digambarkan oleh arwah Pak Hashim Zabidi seorang novelis Pahang. Suatu ketika, apabila tiba cuti musim panas orang negeri-negeri di atas angin, Lepih akan penuh dengan pelancong dari sana.

Penjaja di pasar tani pun sudah tidak kekok untuk bercakap yes, ni, allright. Saya sendiri sebagai pemandu pelancong sudah mula boleh berkomunikasi dalam bahasa Perancis dan Itali.

Demikianlah suasana pada era perkhidmatan kereta api penumpang dari Singapura ke Tumpat masih beroperasi aktif. Perkhidmatan itu terkenal dalam kalangan pengembara dan mereka namakan ia sebagai perkhidmatan jungle train.

Jungle Train tercatat dalam buku panduan para pengembara dan Kuala Lipis merupakan destinasi wajib singgah. Pada masa itu juga Sungai Jelai masih aktif sebagai jalan perhubungan penduduk kampung persisir sungai untuk ke bandar Lepih.

Perahu dan motobot hilir mudik menjadi panorama biasa di Sungai Jelai dan ia memang menarik hati para pengunjung yang datang ke Lepih. Itulah suasana manis yang menghiasi Lepih selain daripada warisan sejarah dan alam semulajadinya yang segar menghijau.

Saya ini sebagaimana Sani Sudin dengan Kuala Lumpurnya, begitulah saya dengan Lepih. Saya merasai sendiri denyut nadi Lepih sejak zaman air batu sagat Cina Bacik. Saya sempat mendengar deru kicau kereta api kuasa wap bergerak mengikut landasannya.

Saya adalah orang yang melepak di Paradise Theater pada zaman remajanya. Paradise Theater merupakan sebuah panggung wayang gambar yang sangat agam serta klasik yang pernah wujud di Pahang.

Mahu lebih indah, menawan

Oleh hal yang demikian, saya sangat berbesar hati dan teruja dengan langkah kerajaan mahu melawakan Lepih sekarang. Pelbagai projek sedang dirangka serta dilaksanakan.

Cuma perlu disedarkan bahawa hala tuju usaha mengindahkan Paris of the East ini perlu dibuat dengan benar-benar cermat.

Ia wajib menitikberatkan nilai-nilai kelestarian warisan sejarah yang sarat bertapak di dadanya. Tidak ketinggalah aspek penjagaan ekologi dan alam sekitar Lepih.

Kegagalan merancang dan melaksanakannya secara teliti hanya akan mengundang sedih yang meruntun jiwa dan raga.

Justeru sangat diharapkan pihak berwajib mempunyai inisiatif mengadakan sesi libat urus serta mencari permuafakatan dengan warga setempat. Kita bersetuju untuk mahu melihat Lepih yang indah dan menawan.

Tetapi cara dan langkah untuk mencapai matlamat itu tidak semestinya hanya satu. Ia juga bukan mutlak mesti ditentukan oleh penguasa. Rakyat yang hidup dan bernafas di sini juga ada suara hatinya.

Ambillah seruan semangat Keluarga Malaysia itu untuk kita sama-sama menuju matlamat yang terbaik.

Tidak hilang bisanya ular walau memilih untuk menyusur akar.

Saya ambil contoh - projek menghias Lepih dengan lukisan mural. Alangkah indahnya jika ia dimanfaatkan sebaik mungkin. Biar semua lukisan mural di Lepih ini ada penceritaan tempatan dari segi konsep dan temanya.

Melantik orang luar untuk mengindahkan Lepih kami itu tidaklah melukakan sangat. Ia jadi menerbitkan rasa sayu apabila ia sepatutnya menyediakan satu garis panduan agar apa yang terpapar nanti benar-benar merupakan suara Lepih kami.

Kami mengidamkan sebuah pernyataan seni yang menegaskan bahawa Lepih ini sebuah bandar warisan sejarah.

Shopia Loren itu adalah jelitawan yang memukau jutaan manusia suatu ketika dulu. Imejnya yang lawa itu masih kekal dalam ingatan kebanyakan orang. Namun dia tetap tertakluk kepada hukum alam. Sophia perlahan-lahan menjadi tua dan renta.

Dia berusia 87 tahun sekarang.

Dalam usia yang lanjut begitu, sudah tentu wajahnya tidak lagi seindah Sophia yang dulu. Seperti ketika dia muncul dalam The River Girl atau The Miller's Beautiful Wife.

Namun kita sepatutnya bersetuju bahawa Sofia Costanza Brigida Villani Scicolone itu boleh diserlahkan keanggunannya sebagai seorang diva jika dia berikan solekan yang betul.

Begitulah juga Paris of the East ini.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang minat melukis, memerhati dan menulis.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS