Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian Zulfarhan: Pejuang Muda gesa inkuiri siasat jika ada unsur kecuaian
Diterbitkan:  Nov 2, 2021 6:26 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Sayap Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda) mendesak agar satu inkuiri diadakan bagi menyiasat bagaimana kejadian yang menimpa pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak disedari lebih awal oleh pihak universiti.

Menurut Naib Ketua Pejuang Muda Nik Fathurahman Nik Rasli, inkuiri itu penting bagi mengenal pasti jika wujud unsur kecuaian dalam kematian Zulfarhan, yang meninggal dunia setelah berhari-hari cedera tanpa disedari oleh pihak universiti.

Meskipun menyambut baik sabitan bersalah ke atas enam penuntut UPNM atas kematian Zulfarhan, dia berkata inkuiri itu dapat meningkatkan tahap keselamatan para pelajar serta menghalang insiden sama berlaku di masa hadapan.

“Kami ingin mendesak agar satu inkuiri diadakan bagi mengenal pasti punca bagaimana tindakan keji pelajar-pelajar ini tidak berjaya dihalang atau disedari oleh pihak universiti lebih awal sehingga menyebabkan kematian.

“Sehubungan itu, inkuiri ini hendaklah menyiasat peranan yang dimainkan (atau tidak dimainkan) pihak keselamatan atau warden asrama universiti serta mengenal pasti jika wujud kecuaian pihak pentadbiran universiti dalam menjamin keselamatan para pelajarnya," katanya dalam enyataan hari ini.

Dia membangkitkan yang Zulfarhan dalam keadaan cedera berhari-hari dan ditemukan dalam keadaan kaku, sebelum dibawa ke Hospital Sedang dan disahkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017.

“Pihak berwajib tidak boleh lepas tangan serta harus sama-sama dipertanggungjawabkan,” katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan empat tahun lalu.

Kejadian itu menggemparkan negara ekoran kecederaan menyayat hati dialami Zulfarhan oleh rakan-rakan sepengajiannya, antaranya oleh wap seterika di kemaluan.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba.

Fathurahman turut berharap agar keputusan itu dapat memberi keadilan buat keluarga Zulfarhan, serta menzahirkan rasa kesal atas penderaan ekstrem ke atas Allahyarham sehingga membawa kepada kematiannya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS