GLOBAL | Kes bunuh diri dalam kalangan wanita bekerja di Jepun meningkat ketika pandemik Covid-19, memetik laporan kerajaan pada Selasa.
Kertas putih mengenai pencegahan bunuh diri yang diluluskan kerajaan menunjukkan jumlah kes bunuh diri dalam kalangan wanita meningkat sebanyak 935 kepada 7,026 pada 2020, lapor Agensi Anadolu memetik NHK.
Peningkatan kes bunuh diri itu adalah yang pertama dicatatkan untuk tempoh dua tahun, menurut laporan itu.
"Laporan tersebut menyatakan ini mungkin disebabkan perubahan cara dan persekitaran kerja akibat Covid-19,” tambah laporan itu.
Dalam kalangan lelaki yang membunuh diri pula jumlahnya menurun sebanyak 23 kepada 14,055, penurunan ke-11 berturut-turut.
Seramai 21,081 orang membunuh diri pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 912 berbanding 2019.
"Ia adalah peningkatan tahun ke tahun yang pertama sejak 2009. Peningkatan sebelum ini berikutan krisis kewangan global 2008," menurut laporan itu.
Peningkatan terbesar dalam kes bunuh diri dalam kalangan wanita bekerja melibatkan " mereka yang yang bekerja di pejabat, penjagaan kesihatan atau perkhidmatan lain."
“Perubahan persekitaran kerja dan hubungan dengan orang lain di tempat kerja dikatakan sebagai antara kemungkinan sebab atau motif meningkatnya kes wanita membunuh diri,” tambah laporan itu.
Jepun, ekonomi ketiga terbesar dunia, telah melaporkan lebih 1.72 juta kes Covid-19, termasuk 18,275 kematian.
Ekonomi Jepun kekal tidak stabil selama beberapa dekad dan kini bergelut dengan pandemik, memaksa kerajaan mengumumkan beberapa pakej rangsangan.
-Bernama