Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemiskinan haid M'sia bukan seteruk India, kata Nurulhidayah
Diterbitkan:  Nov 2, 2021 5:01 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menidakkan beratnya isu kemiskinan haid di Malaysia dengan mendakwa tuala wanita yang dipelukan untuk menguruskan isu itu tidaklah terlalu mahal.

Nurulhidayah Ahmad Zahid membuat kenyataan itu di Instagramnya ketika menjawab komen salah seorang pengguna yang membangkitkan mengenai wujudnya wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.

“Saya sedar mengenainya (mengandung untuk mengelakkan datang bulan), tapi bukan di Malaysia. Mana ada pad (tuala wanita) harga kayangan pun.

"Saya mengkaji pad. Saya keluarkan jenama pad, jadi saya tahu. Jangan salah faham.

“Saya ketawa kerana tajuk berita itu. Apa kena-mengena pad dengan mengandung. Alahai…” katanya menjawab komen tersebut.

Perbincangan itu berlaku pada hantaran Nurulhidayah yang memuat naik satu tangkap layar portal berita memaparkan isu serupa dengan yang dibangkitkan komen berkenaan.

Dia turut mendakwa kemiskinan haid di Malaysia tidaklah seteruk di India memandangkan terdapat banyak pusat zakat dan NGO untuk membantu wanita di sini.

“Populasi Malaysia pun taklah seramai di India. Kita nak tengok ke belakang buat apa? Kita tengok contoh negara maju, bukan negara macam tu.

"Bergerak ke hadapan, bukan ke belakang,” katanya.

Cari jalan elak datang bulan 

Secara umum, kemiskinan haid ialah isu kesukaran mendapatkan produk-produk haid, dan kurangnya pengetahuan tentang kemudahan haid dan kebersihan diri.

Kenyataan Nurulhidayah itu hadir selepas pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2022 untuk mengedarkan kit kebersihan diri setiap bulan buat 130,000 remaja perempuan dalam keluarga B40.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dianggarkan seramai 130,000 remaja wanita dari keluarga B40 berdepan masalah mendapatkan produk kebersihan seperti tuala wanita ekoran kekangan kewangan.

Ketua Pemudi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuanita Muda) Nurul Ashikin Mabahwi kemudian menggesa kerajaan mengedarkan kit kebersihan diri kepada semua wanita B40.

Dia kemudian memetik kejadian wanita dari kelompok tidak berkemampuan itu yang sanggup mengandung berkali-kali bagi mengelakkan masalah datang bulan.

Dalam laporan disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini, NGO Sanitary Bank Malaysia mendakwa ramai remaja perempuan dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah sanggup mengandung supaya dapat mengelak membeli tuala wanita selama sembilan bulan.

Gambar hiasan

NGO itu berkata, ia merupakan kejadian biasa di kawasan pedalaman. Katanya ramai wanita cenderung memikirkan kaedah yang dapat mengelakkan kos tuala wanita mereka selama sembilan bulan, tetapi tidak terfikir tentang perbelanjaan keperluan bayi selepas melahirkan anak nanti.

Bagaimanapun, Nurulhidayah menepis perkara tersebut dengan berjenaka pada tangkap layar kenyataan Nurul Ashikin dalam artikel Sinar Harian yang sudah dipadam itu.

“Suami saya tanya kalau tak pakai tuala wanita percuma tu memang akan mengandung sajakah (atau) macam mana?

"Tak pernah lagi dengar doktor pakar cakap pakai pad free (percuma) kalau tak nak mengandung. Tajuk berita pun mengundang," katanya.

Bukan tentang kempen bantuan

Ini menyebabkan kemarahan pengguna Instagram kepada Nurulhidayah kerana dikatakan menidakkan isu kemiskinan haid.

Nurulhidayah berulang kali membalas bahawa dia sedar akan kemiskinan haid, tetapi menurutnya ia bukanlah masalah besar.

Dia juga berkata yang diketawakan adalah tajuk berita - bahawa pengedaran tuala wanita secara percuma dapat membantu wanita yang sanggup mengandung dengan kerap kerana tidak mampu membeli tuala wanita.

Nurulhidayah turut berkata yang dia tidak menentang pengedaran tuala wanita secara percuma, tetapi menegaskan yang ia bukanlah penyelesaian jangka panjang.

“Bagi orang ilmu. Bagi modal nak meniaga. Ajar sampai pandai.

“[...] Saya bukan tak setuju bagi pad percuma. Bagi sajalah, tapi sampai bila?

“(Jika) Tukar kerajaan lagi apa jadi dekat perempuan-perempuan tu semua? Tukar kerajaan tukar lagi polisi. Sampai Abang Jamil mampus pun tak akan selesai masalah. Itu maksud saya,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS