Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cukai Makmur dijangka jana sekurang-kurangnya RM3 bilion pada kerajaan'

PARLIMEN | Cukai terhadap syarikat yang menjana pendapatan tinggi yang akan dikenakan tahun depan dijangka memberikan hasil sekurang-kurangnya RM3 bilion kepada kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

"Kita tidak pasti tetapi kita jangka akan dapat sekurang-kurangnya RM3 bilion," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung jumlah hasil yang dijangka diperolehi daripada cukai itu, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dinamakan sebagai Cukai Makmur, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan 24 peratus.

Pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan 33 peratus.

Bagaimanapun cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 itu hanya untuk tahun taksiran 2022.

Menurut Yamani, cukai tersebut diwujudkan selepas maklum balas banyak pihak yang mahu syarikat yang tidak terjejas keuntungannya akibat wabak Covid-19 menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

"Ini secara one-off dan kita rasakan agak munasabah, melihat syarikat kekal menjana pendapatan tinggi sejak satu, dua tahun ini.

"Kita rasakan ia dilaksanakan secara adil dan tidak menyasarkan mana-mana sektor atau industri tertentu," katanya lagi.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) berhubung langkah kerajaan selepas Bursa Malaysia menjunam ekoran pengumuman cukai itu.

Yamani mengakui yang ia mungkin petanda banyak pihak bimbang dengan cukai tersebut.

Bagaimanapun, dia berkata penganalisis memaklumkan ia mungkin disebabkan "pemain pasaran" jangka pendek yang menarik pelaburan.

"Jika kita beri masa beberapa hari, ia boleh beri ruang kepada mereka yang ingin membuat pelaburan jangka panjang untuk dapatkan harga yang baik bagi saham sedia ada sekarang," katanya lagi.

Dalam satu isu berlainan, Yamani, yang turut dinamakan dalam pendedahan Kertas Pandora, menjelaskan syarikat yang dikaitkan dengannya sudah tidak aktif dan semua cukai sudah dibayar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS