Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bursa Malaysia menjunam akibat Cukai Makmur
Diterbitkan:  Nov 1, 2021 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dengan tekanan jualan dilihat di seluruh papan apabila para pelabur memberikan reaksi negatif kepada cadangan Cukai Makmur yang dibentangkan semasa Bajet 2022, kata para peniaga.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 31.39 mata atau 2.01 peratus kepada 1,530.92 daripada paras penutup 1,562.31 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu yang dibuka rendah turun 16.32 mata kepada 1,545.87, turun naik antara paras 1,526.60 dan 1,545.99 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 996 berbanding 178, manakala 327 kaunter tidak berubah, 773 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.47 bilion unit bernilai RM3.23 bilion daripada 3.03 bilion unit bernilai RM2.35 bilion pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia kekal lemah sejak pasaran dibuka hari ini meskipun penutupan kukuh di Wall Street pada Jumaat minggu lepas apabila cadangan Cukai Makmur itu mendapat reaksi negatif dan menjejaskan sentimen pasaran.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran itu diseret turun terutamanya oleh saham wajaran tinggi perbankan.

“Bagaimanapun, kami percaya penilaian pasaran tempatan masih kekal menarik berbanding pasaran serantau lain.

“Bagi minggu ini, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran terus stabil, dengan sokongan segera pada 1,520 diikuti paras sokongan psikologi sekitar 1,500 manakala paras ketahanan pada 1,550 dan kemudiannya pada 1,580,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, katanya, pasaran ekuiti bercampur-campur berikutan sentimen yang bercampur-campur dengan ekuiti Jepun ditutup tinggi apabila para pelabur memberi reaksi positif kepada keputusan pilihan raya umum yang menyaksikan kemenangan kepada Perdana Menteri Fumio Kishida.

Sementara itu, ekuiti China dan Hong kong ditutup rendah selepas data menunjukkan aktiviti perkilangan di China menyusut bulan lepas mencerminkan penurunan seterusnya ekonomi nombor dua dunia itu, katanya.

Nikkei 225 Jepun meningkat 2.61 peratus kepada 29,647.08, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.66 peratus kepada 3,219.35 dan Kospi Korea Selatan naik 0.28 peratus kepada 2,978.94 tetapi Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh 0.88 peratus kepada 25,154.32.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, IHH Healthcare dan Tenaga turun enam sen setiap satu masing-masing kepada RM7.99, RM6.48 dan RM9.60, Public Bank susut 13 sen kepada RM4.04 manakala Petronas Chemicals turun 34 sen kepada RM8.35.

Dalam kalangan kaunter cergas, AirAsia X berkurangan dua sen kepada 7.5 sen, KNM susut 1.5 sen kepada 19 sen, Hextar Industries meningkat tiga sen kepada 17.5 sen manakala MMAG dan Ta Win tidak berubah masing-masing kepada 10.5 sen dan 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 228.83 mata kepada 11,330.17, Indeks FBMT 100 susut 229.59 mata kepada 10,959.50, FBM 70 berkurangan 332.58 mata kepada 14,969.79, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 225.52 mata kepada 12,366.07d an FBM ACE turun 45.94 mata kepada 7,050.23.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.65 mata kepada 202.14, Indeks Perladangan turun 75.41 mata kepada 6,713.41, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 431.94 mata kepada 15,157.27.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.27 bilion saham bernilai RM2.89 bilion daripada 2.01 bilion saham bernilai RM2.09 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 351.95 juta unit bernilai RM52.52 juta berbanding 217.27 juta unit bernilai RM33.86 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 838.38 juta saham bernilai RM288.84 juta 804.57 juta saham bernilai RM230.11 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 331.17 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (757.93 juta), pembinaan (114.81 juta), teknologi (232.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (188.63 juta), hartanah (231.03 juta), perladangan (27.78 juta), REITs (4.89 juta), dana tertutup (26,600), tenaga (219.85 juta), penjagaan kesihatan (35.05 juta), telekomunikasi dan media (43.87 juta), pengangkutan dan logistik (69.21 juta) dan utiliti (15.85 juta).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS