Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar dakwa 'puluhan ribu' umat Islam boleh berjudi di bawah k'jaan Melayu-Islam
Diterbitkan:  Nov 1, 2021 5:30 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

PARLIMEN | Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa “puluhan ribu” orang Islam didapati berjudi di kira-kira 62 kelab berlesen yang mempunyai kebenaran itu.

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2022 hari ini, Anwar mendakwa bilangan orang Islam yang menjadi anggota di kelab-kelab itu juga telah meningkat dalam tempoh setahun setengah kebelakangan ini.

Pun begitu, Anwar tidak menyertakan bukti sokongan untuk dakwaan tersebut.

Menurut Anwar, akses orang Islam untuk mesin slot berlesen di kelab itu tidak seperti larangan yang dikenakan terhadap orang Islam di Kasino Genting di Pahang.

"Ini dilakukan dalam keadaan terbuka oleh kerajaan Melayu-Islam sekarang ini. Nampak macam ada usaha melindungi fakta ini.

“Jadi kita nak tahu berapa jumlahnya, berapa mesin slot, berapa orang Melayu yang menjadi anggota dan terlibat dalam aktiviti ini.

“Sekarang ada MySejahtera. Jangan nafikan kerana memang ada rekod MySejahtera tentang orang Melayu yang terlibat dalam kes ini. Dah ramai,” katanya lagi.

Oleh hal yang demikian, Anwar menuntut agar Kementerian Kewangan dan polis menyiasat dakwaannya itu.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) kemudian mencelah dengan berseloroh agar Anwar tidak terlalu “menekan” kerajaan, yang menurutnya sebuah kerajaan yang tiada manifesto.

“Mereka bukan ada manifesto. Jadi apa yang boleh buat duit, mereka buat sajalah. Janganlah pula Port Dickson tekan kerajaan yang tak ada manifesto ini,” kata Mohamad.

Anwar kemudian berkata meskipun tiada janji pilihan raya yang perlu dipenuhi, kerajaan sekarang harus berdiri di atas jenama "Melayu-Islam" yang dibawa mereka.

“Ini manifesto kita sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi orang Islam. Sekarang dengan kerajaan atas nama Melayu-Islam, lebih galak dengan aktiviti perjudian,” katanya lagi.

Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) kemudian turut mencelah, memberi bayangan bahawa PAS turut bersubahat dalam perkara itu.

“Mungkin kerajaan memberi sedikit cop kebebasan kerana sudah dapat cop halal bila penyertaan ramai ulama-ulama duduk dalam kerajaan Islam ini.

“(Untuk makluman) Esok ada cabutan khas, (ada satu kedai perjudian hanya) 70 meter dari tangga ibu pejabat PAS,” kata Mahfuz lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS