Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu ‘katak’: Cuba Mat Sabu pula jawab, kata Rafizi
Diterbitkan:  Nov 1, 2021 9:14 AM
Dikemaskini: 5:13 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membangkitkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan Amanah dalam isu sikap terhadap Idris Haron dan wakil rakyat kerajaan yang berpaling tadah.

Dia membandingkan perkara itu dengan desakan Amanah dan DAP yang mahu menerima Bersatu dalam pilihan raya umum lalu.

“Sekarang alasan yang sama digunakan pimpinan Amanah, konon Idris Harun dan lain-lain akan bawa lonjakan di Melaka,” kata pemimpin muda PKR yang mengumumkan ‘bersara’ daripada politik dua tahun lalu itu.

Bagaimanapun, kata Rafizi, pemimpin itu hanya berkokok dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) kerana dalam PH, parti besar mana pun bila menjadi anggota ada undi yang sama.

“Di luar mereka senyap kerana sudah jadi amalan yang akan kena hentam PKR yang selalu kena jawab diluar,” katanya.

 Rafizi justeru berkata sampai masanya presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari pula cuba meyakinkan pendukung PH di luar “kot belah mana kemasukan katak-katak politik akan memberi lonjakan yang boleh memenangkan PH di Melaka”.

“Ini hujah kuat berdegar-degar dalam mesyuarat PH tapi tidak cukup berdegar-degar di luar.

“Kalau saya, kena sekali cukuplah.

“Sampai mati saya takkan lupa pengajaran itu sebab kalau kena dua tiga kali atas kesilapan sama, namanya ‘kurang cerdik’,” katanya yang menggunakan emoji ketawa.

Adly tidak memberikan respons terhadap permintaan untuk mendapatkan ulasannya.

Salahuddin Ayub

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, pengalaman 40 tahunnya dalam kerjasama politik mengajarnya bahawa sikap "suka berbunyi" setelah sesuatu keputusan telah dibuat secara bersama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi boleh menyuarakan pandangan, kita boleh tak berpuas hati, tapi selepas keputusan dibuat kita tak boleh kata 'oh dulu aku dah kata ini silap'.

“Ini bukan satu disiplin yang kita terima dalam berkawan,” kata ahli parlimen Pulai itu ketika dihubungi.

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad pula tidak melihat ada keperluan untuk memberi maklum balas kepada Rafizi.

“Maaf, ini bukan masalah kami. Soal dia serang Amanah itu hak dia. Kami tak perlu respons padanya,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS