Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 6 juta pencarum KWSP berbaki kurang RM10k dalam simpanan
Diterbitkan:  Oct 31, 2021 9:54 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Simpanan persaraan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan pengurangan selepas kerajaan membenarkan pencarum menggunakan dana tabung itu semasa pandemik Covid-19.

KWSP berkata selepas tiga kali membenarkan ahli mengeluarkan dana persaraan mereka di bawah program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, kira-kira 6.1 juta ahli KWSP kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.

Daripada 6.1 juta itu, 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun KWSP mereka.

Dana persaraan itu berkata pihaknya kini sedang berusaha untuk membantu ahli membina semula simpanan mereka untuk masa depan persaraan.

“Berikutan kemudahan pengeluaran khas akibat pandemik Covid-19, KWSP kini memberi tumpuan untuk membantu ahli membina semula simpanan mereka untuk masa depan persaraan mereka.

“Kemudahan pengeluaran adalah luar biasa sifatnya, dan diperkenalkan dengan mengambil kira keadaan pada masa wabak itu memberi kesan teruk kepada ekonomi tempatan.

“Melawan keperluan ini untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka, pengeluaran luar biasa masa depan perlu dipertimbangkan dengan teliti,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan peruntukan undang-undang KWSP perlu menyediakan dividen terjamin sekurang-kurangnya 2.5 peratus setahun, tetapi secara konsisten ia menawarkan kadar dividen melebihi 5 peratus sejak 2009.

Dalam kenyataan mereka hari ini, KWSP berkata penyusutan jumlah simpanan itu amat membimbangkan terutamanya ahli bumiputera kerana mereka merupakan 78 peratus daripada pemohon pengeluaran.

Akibatnya, 4.4 juta ahli bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dan dua juta mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun KWSP mereka.

Pengeluaran luar biasa itu juga menyebabkan pengagihan simpanan menjadi semakin tidak saksama katanya, dengan 40 peratus ahli terbawah – kira-kira lima juta ahli – menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion.

Ini bermakna baki simpanan median hanya RM1,005.

Begitu juga, 40 peratus pertengahan juga mengalami pengurangan sebanyak 18 peratus dalam simpanan mereka, menjadikan baki median sebanyak RM24,995.

Hanya 20 peratus ahli teratas menyaksikan peningkatan dalam simpanan tetapi ini hanya diterjemahkan kepada median sebanyak RM152,043 dalam simpanan, yang menurut KWSP adalah bersamaan dengan hanya RM633 sebulan selama 20 tahun.

"Ketiga-tiga pengeluaran luar biasa ini telah menyebabkan 73 peratus atau hampir tiga perempat, ahli berada dalam situasi serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

"KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik," katanya.

KWSP berkata pihaknya berharap langkah-langkah yang dilaksanakan untuk menyokong ekonomi dan merangsang pekerjaan akan membantu menangani keperluan rakyat.

Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang disokong dengan kejayaan program vaksinasi telah memperbaiki situasai pandemik untuk membuka jalan kepada pemulihan ekonomi.

Ini telah membolehkan sektor ekonomi dihidupkan semula kerana rakyat Malaysia boleh kembali bekerja, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka, katanya.

Selain itu, Belanjawan 2022 yang dibentangkan baru-baru ini menyaksikan peruntukan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan RM4.8 bilion untuk Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), serta pelbagai langkah untuk membantu rakyat.

Insentif seperti i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia juga harus membantu dalam menangani kelemahan sistem perlindungan sosial negara bagi anggota masyarakat rentan.

Begitu juga dengan agenda perlindungan sosial yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

"KWSP menyokong penuh langkah-langkah ini, dan akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan untuk memastikan masa depan yang terjamin dan terpelihara untuk ahli dan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS