Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata meskipun dia mengakui bahawa parti mereka mempunyai kelemahan, namun Pakatan Harapan (PH) tidak perlu berlagak suci.
Tegas Shahril, Umno tidak boleh dipersalahkan ekoran kejatuhan kerajaan negeri Melaka, bahkan parti itu segera memecat pemimpinnya yang berpaling tadah.
Bagaimanapun tindakan PH bertemu dengan empat wakil rakyat yang bertindak menarik sokongan dan meraikan mereka sebagai "panglima", itu menjadi persoalan.
"Ada yang kata, apa salahnya presiden PKR berjumpa dengan Adun Melaka? Okey tak salah pun berjumpa. Tapi apa ertinya apabila meraikan mereka dan merujuk mereka sebagai 'panglima'?
"Hari ini kita telah dapat jawapan PH terbuka menjalin kerjasama dalam PRN Melaka. Kita tunggu apakah ini bermaksud kelak rakyat akan diminta pilih tiga individu ini atas tiket PH. Jika tidak sekalipun, nampaknya PH menghargai 'jasa' dan menganggap mereka sebagai aset.
"Ya, Umno tidak maksum. Tapi PH juga tak perlu acah suci," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tiga Adun yang dimaksudkan adalah Idris Haron (Sungai Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor). dan Noor Effandi Ahmad (Teluk Mas).
Idris dan Nor Azman masing-masing dipecat keahlian dari Umno susulan tindakan mereka menarik balik sokongan terhadap ketua menteri ketika itu Sulaiman Md Ali, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan BN di Melaka.
Noor Effandi turut menerima nasib sama apabila keahliannya dalam Bersatu digugurkan.
Terdahulu, presiden PKR yang juga pengerusi PH, Anwar Ibrahim masih terbuka untuk bekerjasama dengan tiga Adun itu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang.
Bercakap kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini, Anwar berkata, ketiga-tiga mereka tidak terlibat dengan "Langkah Sheraton" yang bertujuan untuk menumbangkan kerajaan PH tahun lalu.
Sebaliknya kata Anwar, mereka kini mahu mengembalikan mandat yang diberikan pengundi kepada PH.
"Saya kurang bersetuju untuk orang longgokkan mereka sebagai satu kumpulan sama dengan Langkah Sheraton baru-baru ini yang mengkhianati amanah rakyat.
"Ini dia nak kembalikan kepada Pakatan Harapan,” kata Anwar.
Anwar juga memaklumkan bahawa Idris, Nor Azman dan Effandi telah bertemu dengan pemimpin PH Melaka sebelum menarik balik sokongan kepada Sulaiman.
Sementara itu, bekas perdana menteri, Najib Razak berkata pengesahan Anwar bahawa dia ada bertemu empat Adun yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka mengesahkan komplot dicetuskan mereka.
Katanya, selaras dengan pengakuan Anwar itu, Umno tidak boleh lagi dipersalahkan sebagai pencetus krisis politik di Melaka.
"Pengakuan rasmi dari PH hari ini bahawa mereka yang berkomplot dan tumbangkan kerajaan Melaka sehingga PRN perlu dibuat.
"Jadi, jangan salahkan Umno lagi," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.