Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Jemut Masing meninggal dunia pagi ini selepas bertarung dengan jangkitan Covid-19.
Borneo Post melaporkan Masing meninggal dunia pada kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Masing sebelum ini dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 28 Sept dan dirawat di unit rawatan rapi.
Pada hari itu, Masing menulis di Facebook bahawa dia merupakan pesakit Covid-19 kategori 3.
Masing berkata dia telah melengkapkan vaksin dan turut menggalakkan orang ramai untuk berbuat demikian.
Menurut laporan Astro Awani, Masing dipindahkan ke Pusat Perubatan Normah Kuching pada minggu lepas.
Masing, 72, adalah ahli politik veteran Sarawak yang mewakili DUN Baleh selama lapan penggal sejak 1983.
Dia memulakan kerjayanya dengan Parti Bansa Dayak Sarawak sebelum menubuhkan Parti Rakyat Sarawak pada 2004.
Masing merupakan anggota kabinet Sarawak dan telah berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri sebanyak dua kali.