Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadang BN, PN guna lambang PAS: Tuan Ibrahim hanya melawak, kata Hamzah
Diterbitkan:  Oct 30, 2021 8:56 PM
Dikemaskini: 12:56 PM

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin menolak cadangan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man agar parti yang bekerjasama dengan mereka menggunakan lambang parti itu dalam PRN Melaka nanti.

Hamzah berkata Tuan Ibrahim hanya "melawak" dan laporan media berkenaan perkara itu kurang tepat.

“Saya ingat anda (wartawan) dapat maklumat itu salah. Apa dia (Tuan Ibrahim) kata itu macam melawak sahajakan.

“Dia (Tuan Ibrahim) kata kalau dah semua orang nakkan dia (PAS), pakai baju dialah. Itu sahaja cerita dia," katanya seperti dipetik FMT.

PN sebelum ini mendakwa semua parti komponennya, termasuk PAS, telah setuju untuk menggunakan lambang gabungan itu dalam PRN Melaka.

Bagaimanapun Umno berkata mereka akan bekerjasama dengan PAS jika parti itu menggunakan lambang sendiri.

Dengan kedua-dua Umno dan Bersatu mengharapkan kerjasama PAS, Tuan Ibrahim kemudian berkata lebih baik jika kesemuanya menggunakan lambang parti itu.

Sementara Hamzah memandang kenyataan itu sebagai hanya seloroh, Tuan Ibrahim dilaporkan membuat cadangan sama ketika muktamar Pemuda PAS di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

“Malam tadi kita adakan mesyuarat dengan tiga parti, PAS-Umno-Bersatu. Nampaknya PAS dikehendaki oleh semua parti – Umno buat keputusan dia setuju bersama dengan PAS dan pada waktu sama Bersatu pun nak bersama kita.

“Lalu saya cadangkan guna saja lambang PAS,” katanya seperti dipetik FMT.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS