Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen menafikan gambar Muhyiddin Yassin memberikan RM5 kepada seorang penunggang motosikal adalah rasuah.
Dia sebaliknya berkata, presiden Bersatu itu memulangkan wang baki selepas penunggang motosikal itu membeli barangan asas di Gerai Prihatin Rakyat secara pandu lalu.
"Gambar yang disebarkan itu ketika Muhyiddin singgah di Gerai Prihatn Rakyat dan pulangkan baki wang sebanyak RM5," katanya menerusi rakaman audio.
Rafiq menyifatkan dakwaan rasuah tersebut sebagai usaha untuk memfitnah dan memburukkan Muhyiddin.
Dia menjelaskan yang Gerai Prihatin Rakyat - yang menjual barangan keperluan asas dengan harga murah - dianjurkan sebuah NGO.
Bagaimanapun, ia berkait rapat dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Di gerai itu, empat barangan, iaitu ubi kentang 2kg, seekor ayam, sepapan telur, dan Milo 200g, akan dijual dengan harga RM15. Hanya seorang pembeli dari satu isi rumah berpendapatan bawah RM4,000 boleh membelinya.
Menurut poster program itu, jualan dibuat secara pandu lalu dan terhad kepada 200 pelanggan.
Ia dianjurkan di saat PRN Melaka akan diadakan tak lama lagi.
Terdahulu, Bersih mengingatkan program itu boleh mempengaruhi pengundi "secara rasuah".
Bersatu dijangka berdepan dengan Umno dan PH dalam PRN Melaka. Analisis awal membayangkan parti itu berisiko kalah teruk dalam pilihan raya tersebut.