Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan perubatan sambut baik kenaikan peruntukan kesihatan

Persatuan perubatan memuji cadangan Putrajaya memperuntukkan sejumlah RM32.4 bilion dalam Belanjawan 2022 untuk Kementerian Kesihatan tahun depan, termasuk RM4 bilion yang dikhususkan untuk usaha memerangi pandemik Covid-19.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menganggap Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz awal hari ini sebagai sesuatu yang mengutamakan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Bagus untuk diambil perhatian bahawa kesihatan telah diutamakan dan peruntukan sebanyak RM32.4 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, yang kedua tertinggi selepas Kementerian Pendidikan.

"Tambahan RM2 bilion setiap satu untuk kos program imunisasi dan untuk pembinaan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam juga dihargai," kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai dalam satu kenyataan.

Dr Koh turut mengalu-alukan keputusan kerajaan meneruskan penyumberan luar perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada hospital dan fasiliti swasta di bawah pelbagai kementerian, dan mencadangkan agar amalan itu diperluaskan.

Dalam ucapan pembentangan belanjawan petang tadi, Zafrul mengumumkan peruntukan RM32.4 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pengurusan serta pembangunan KKM.

Ia merupakan peningkatan 1.47 peratus daripada peruntukan tahun lepas (RM31.94 bilion).

“Tambahan RM4 bilion juga diperuntukkan bagi meneruskan agenda negara dalam menangani pandemik Covid-19, termasuk RM2 bilion untuk program vaksinasi manakala RM2 bilion lagi untuk meningkatkan kapasiti kemudahan penjagaan kesihatan awam -- untuk mendapatkan ubat, peralatan sekali pakai, peralatan perlindungan diri, dan kit kesihatan.

"Atas semangat Keluarga Malaysia, KKM juga telah menyalurkan perkhidmatannya kepada hospital swasta dan hospital yang berada di bawah kementerian lain bagi mengoptimumkan kapasiti penjagaan kesihatan negara," kata Zafrul.

Tambah Zafrul, kerajaan juga bercadang untuk mendapatkan ubat antivirus yang didapati berkesan dalam memerangi virus termasuk Covid-19.

Putrajaya juga telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos vaksin Covid-19, cukup untuk lebih 140 peratus penduduk negara, termasuk untuk pengagihan dos ketiga kepada semua penduduk berumur 12 tahun ke atas.

Mengulas mengenai perkara ini, Dr Koh berkata program vaksinasi telah berjaya dan harus diteruskan serta diperluaskan.

Dia mencadangkan KKM juga perlu meneliti kemungkinan mendapatkan terapeutik perubatan, "dengan kos rendah tetapi berkesan".

Persatuan Hospital Swasta Malaysia berkata mereka gembira melihat peruntukan tambahan untuk KKM.

"Peruntukan itu termasuk untuk membeli perkhidmatan daripada hospital swasta dan juga untuk vaksinasi, terutamanya dos penggalak. Pengukuhan penjagaan kesihatan awam adalah baik untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan di hospital awam.

"RM32.4 bilion untuk penjagaan kesihatan adalah bajet yang baik secara keseluruhan untuk penjagaan kesihatan dan ia sangat tepat pada masanya untuk bajet ini untuk sektor penjagaan kesihatan," kata Presiden APHM Dr Kuljit Singh melalui mesej teks kepada Malaysiakini.

'Boleh ditambah baik lagi'

Sebuah badan pemikir, yang meski mengalu-alukan peruntukan yang dicadangkan oleh Putrajaya, mendakwa kerajaan menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan kecil dalam peruntukan yang diberikan kepada KKM.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata ia boleh dikatakan kenaikan terkecil kepada peruntukan kesihatan negara dalam tempoh lebih sedekad.

“Bagaimanapun, saya amat khuatir bahawa hampir tidak ada peningkatan dalam peruntukan kesihatan berbanding yang diperuntukkan untuk 2021.

“Ia adalah peningkatan sebanyak 1.5%, jumlah itu boleh dikatakan kenaikan terkecil kepada belanjawan kesihatan dalam tempoh lebih sedekad.

"Ia memberi tanggapan yang salah bahawa walaupun krisis yang dialami rakyat Malaysia sejak 22 bulan lalu, entah bagaimana keperluan kesihatan dan penyampaian perkhidmatan tetap sama," kata Azrul.

Dia juga menegaskan bahawa peruntukan sebanyak RM319.5 juta untuk kesihatan mental adalah lebih rendah daripada peruntukan kerajaan tahun lepas, walaupun isu itu diketengahkan dengan jelas dalam ucapan Zafrul.

"Menangani akibat daripada krisis Covid-19 seperti kemurungan, penyakit mental dan bunuh diri, lebih banyak yang sepatutnya disediakan kerana majoriti penduduk masih bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan melalui sistem penjagaan kesihatan awam," tambah Azrul.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS