Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit kebersihan diri, tuala wanita buat 130,000 remaja B40
Diterbitkan:  Oct 29, 2021 5:32 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

BELANJAWAN 2022 | Kerajaan akan mengedarkan kit asas kebersihan diri - antara lain mengandungi tuala wanita - kepada 130,000 remaja wanita dari keluarga berpendapatan rendah (B40).

Ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, daripada sesi libat urus dijalankan, kerajaan mendapati golongan terbabit tidak mendapat akses kepada produk kesihatan seperti tuala wanita kerana kekangan kewangan.

Katanya, dianggarkan seramai 130,000 remaja wanita dari keluarga B40 berdepan masalah masalah tersebut.

“Oleh itu , Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita B40.

“Di samping itu, kempen dan pendidikan kesihatan reproduktif juga akan terus dijalankan di sekolah-sekolah dengan kerjasama NGO,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga memberikan subsidi upah bagi membantu wanita diambil bekerja.

Ini merangkumi wanita yang telah menganggur lebih daripada 365 hari, ibu tunggal atau suri rumah yang diambil bekerja dengan gaji RM1,200 atau lebih.

Ia melibatkan 30 peratus subsidi untuk enam bulan pertama, dan 40 peratus untuk enam bulan berikutnya.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM4.8 bilion bagi menjamin pekerjaan buat 600,000 warga Malaysia melalui subsidi upah, kepada tiga kategori.

Selain wanita, dua lagi kategori merangkumi:

* Pekerja tidak aktif bekerja diupah untuk pekerjaan yang membayar RM1,500 atau lebih. Kategori ini melibatkan subsidi 20 peratus gaji untuk enam bulan pertama, dan 30 peratus gaji untuk enam bulan berikutnya.

* Orang kurang upaya, Orang Asli atau bekas banduan yang diupah untuk pekerjaan yang membayar RM1,200 atau lebih. Kategori ini melibatkan subsidi yang sama seperti diterima wanita di atas.

Kerajaan juga akan mula mewajibkan semua syarikat senaraian awam untuk melantik sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai anggota pengarah.

Kata Tengku Zafrul buat masa ini, golongan wanita memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 syarikat awam utama.

"Namun, masih terdapat 27 peratus atau 252 syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang belum mempunyai komposisi pengarah wanita.

"Bagi mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kepimpinan serta keberkesanan lembaga pengarah, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam.

"Cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 Sept 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS