Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muzium anjur pameran sejarah Taiping sebagai pengeluar bijih timah
Diterbitkan:  Oct 29, 2021 4:58 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Dokumen waran tangkap terhadap kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San dan artifak perlombongan bijih timah adalah antara bahan bersejarah yang dapat disaksikan dalam Pameran Taiping Retrospektif Sejarah di Muzium Perak, bermula 20 Nov ini.

Pengarah Muzium Perak Zarinah Sarifan berkata pameran sehingga Jun 2022 itu, bertujuan menyemarakkan kembali pelancongan domestik, selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan aktiviti lawatan ke muzium.

“Pameran ini, antara lain akan mengimbas kembali beberapa peristiwa penting membabitkan Taiping seperti sejarah awal, campur tangan tentera British termasuk kegemilangan perusahaan bijih timah lebih 145 tahun dahulu.

“Ini juga penting agar masyarakat tahu bahawa Taiping merupakan pengeluar bijih timah terbesar dunia iaitu lebih 40 peratus daripada permintaan dikeluarkan di sini, serta menjadi komoditi penting yang dieksport ke Eropah,” katanya dalam sidang media di muzium berkenaan di Taiping hari ini.

Zarinah berkata pameran itu antara lain turut memaparkan maklumat mengenai dua tokoh Melayu yang menjumpai bijih timah di Taiping iaitu Che Long Jaafar dan anaknya Che Ngah Ibrahim, serta konflik perebutan kawasan membabitkan kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San pada abad ke-19.

Pengunjung juga berpeluang mempelajari tentang campur tangan Inggeris di Perak, yang bertujuan mengaut keuntungan daripada bijih timah yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia, serta menjadi penggerak kepada revolusi perindustrian di Eropah pada abad itu, katanya.

Selain itu, Zarinah berkata pameran tersebut akan turut menonjolkan koleksi daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) semasa era pemerintahan British.

“Saya percaya dengan adanya pameran itu, akan membantu generasi muda mengetahui sejarah keunikan bandar ini,” katanya.

Menurut Zarinah, Muzium Perak akan dibuka kepada pengunjung yang telah melengkapkap dos vaksin mulai 2 Nov ini dan seramai 60 pelawat akan dibenarkan pada satu-satu masa.

Pelawat boleh mendaftar melalui sistem e-janji temu sehari sebelum tarikh lawatan di http://www.jmm.gov.my/ms/content/janjitemu atau secara jumpa terus dengan pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS