Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan perkenal semula diskaun PTPTN, potongan hingga 15%
Diterbitkan:  Oct 29, 2021 4:50 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Kerajaan akan memperkenalkan semula diskaun pembayaran balik pinjaman di bawah Tabung Pinjaman Pendidikan Tinggi (PTPTN).

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat petang ini berkata peminjam yang menjelaskan pinjaman PTPTN sepenuhnya akan diberi diskaun 15 peratus.

Tambahnya, mereka yang memilih membayar separuh daripada pinjaman akan diberi diskaun 12 peratus.

Sementara peminjam yang memilih untuk membayar balik melalui potongan automatik gaji akan mendapat diskaun 10 peratus.

"Sebagai pinjaman, semestinya ia satu amanah yang wajib dibayar semula oleh peminjam. Jika tidak, ia menafikan peluang anak-anak kita pada masa hadapan.

"Oleh itu, bagi memudahkan proses bayaran balik dan memupuk sikap bertanggungjawab, kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022," katanya.

Diskaun itu mula diperkenalkan di bawah kerajaan Najib Abdul Razak tetapi telah dihentikan selepas Belanjawan 2018.

Sebelum ini, kerajaan menawarkan diskaun 20 peratus bagi penyelesaian penuh dan diskaun 10 peratus bagi penyelesaian separuh daripada pinjaman.

Zafrul turut mengumumkan program PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang akan menyaksikan semua pelajar universiti daripada keluarga B40 diberikan tablet dengan peruntukan RM450 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 600,000 pelajar.

Kata Zafrul, pelajar, terutamanya daripada keluarga miskin, telah bergelut dengan pengajian dalam talian semasa pandemik Covid-19.

Zafrul juga mengumumkan bahawa bantuan kembali ke sekolah akan dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 untuk 2022.

Sebanyak RM450 juta akan diperuntukkan bagi tujuan ini, , memanfaatkan tiga juta pelajar sekolah.

Bantuan itu adalah untuk pelajar sekolah dari isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM1 bilion untuk pembaikan sekolah bagi sekolah kerajaan, sekolah vernakular dan sekolah agama.

[Laporan penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS