mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim cadang BN, PN guna lambang PAS di Melaka
Diterbitkan:  Oct 29, 2021 4:02 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

PRN MELAKA | Ketika isu penggunaan lambang bagi PAS masih belum diselesaikan bagi pihak Perikatan Nasional (PN) dan BN, hari ini Tuan Ibrahim Tuan Man tampil dengan cadangan tersendiri.

Timbalan Presiden PAS itu mencadangkan agar pihak yang bekerjasama dengan mereka menggunakan satu logo bersama, iaitu lambang PAS.

Pandangan ringkas dan bersahaja itu disampaikan menteri alam sekitar dan air terbabit di media sosialnya petang ini.

"Oleh kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan PAS, elok kalau kita gunakan satu logo iaitu logo PAS dalam PRN Melaka nanti.

"Fikir-fikirkan," katanya di Facebook.

Ketika PAS adalah parti komponenan yang sah dalam PN, Umno pula menjadi rakan kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional - yang dimeterai lebih awal.

Pada masa sama Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu.

PAS pula bertegas mahu memainkan peranan mereka sebagai jambatan yang menghubungkan Umno dan Bersatu.

Baru-baru ini mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN kelmarin - yang dihadiri semua parti komponen termasuk PAS - bersetuju untuk menggunakan lambang gabungan itu dalam PRN Melaka yang diadakan pada 20 Nov ini.

Bagaimanapun PAS kelihatan kurang selesa dengan pendirian tersebut. Salah seorang pemimpinnya Mohd Zuhdi Marsuki, berkata keputusan berkenaan perlu dirujuk terlebih dulu kepada parti berkenaan.

Untuk rekod Mohd Zuhdi merupakan anggota Jawatankuasa Pusat PAS dan setiausaha politik Tuan Ibrahim.

Semalam pula Umno menegaskan pendirian parti itu mahu meneruskan kerjasama dengan PAS dan memberi kebebasan kepada parti terbabit bertanding menggunakan logo mereka.

Sementara itu wartawan veteran A Kadir Jasin menganggap tawaran dibuat PAS sebagai umpan yang sukar mengena.

"Tuan Ibrahim Tuan Man cuba memancing jerung dengan kail panjang sejengkal," katanya dalam hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS