Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PH guna lambang rasmi di Melaka
Diterbitkan:  Oct 29, 2021 11:59 AM
Dikemaskini: 5:05 AM

PRN MELAKA | Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan untuk menyertai pilihan raya negeri di Melaka pada bulan depan menggunakan lambang gabungan tersebut.

Menurut pengerusinya Anwar Ibrahim ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat hari ini.

"Kami sebulat suara bersetuju untuk mengguna logo PH," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Ia turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. 

Menurut Anwar pandangan daripada parti terbaru dalam gabungan itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) turut diambil kira.

Isu lambang yang akan digunakan PH dalam PRN Melaka sebelum ini menjadi pertikaian sesetengah pihak dalam gabungan tersebut.

Ketika Amanah dan DAP berpendapat lambang PH adalah percaturan terbaik untuk mendapatkan semula mandat daripada rakyat - seperti yang pernah mereka dapatkan pada 2018 - sesetengah pihak dalam PKR pula berpendapat sebaliknya.

Mereka mendesak agar lambang PKR dijadikan lambang bersama - seperti pilihan raya umum (PRU) lalu - adalah lebih berkesan.

Untuk rekod lambang PKR menjadi logo tunggal untuk PH - termasuk Bersatu - pada 2018 lalu. 

Kata Anwar, dengan keputusan yang dicapai hari ini semua parti digerakkan dengan hanya menonjolkan logo PH.

"Kita berjuang atas satu logo, satu pendirian, satu manifesto bagi peringkat negeri," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 Nov sebagai hari penamaan calon, manakala 20 Nov sebagai hari mengundi. Tarikh bagi pengundian awal pula ditetapkan pada 16 Nov.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS