Beberapa pelanggan Maybank mengalami insiden pelik minggu lepas apabila kad bank mereka dikenakan caj dalam beberapa siri transaksi, yang didakwa tidak mendapat kebenaran, menyebabkan mereka percaya butiran kad itu telah dikompromi.
Insiden itu menyaksikan sejumlah kecil wang ditolak daripada akaun bank mereka melalui pelbagai transaksi.
Malaysiakini mendapati sekurang-kurangnya lima kes setakat ini, termasuk mereka yang menceritakan pengalaman secara terus kepada portal berita ini.
Bagaimanapun dipercayai jumlah pelanggan yang menghadapi masalah serupa mungkin lebih ramai.
Salah seorang mangsa yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata, dia hanya menyedari transaksi luar biasa berlaku apabila menyemak akaun banknya pada 23 Okt lalu.
“Saya menyedari kad debit Maybank saya telah dicaj melebihi RM70, dibayar ke akaun lain dalam 19 transaksi debit jualan berasingan. Setiap transaksi sebanyak RM3.90 dicaj ke kad saya.
“Saya segera menghubungi talian penipuan dan diberitahu bahawa semua transaksi telah dibayar untuk membeli akses kepada beberapa permainan dalam talian. Saya meminta pihak bank membatalkan kad saya serta-merta dan menghantar e-mel laporan pertikaian kepada Maybank,” kata mangsa.
Dia membuat laporan polis selepas itu dan Maybank bersetuju untuk memberikannya kad baru, tambahnya.
“Pegawai penyiasat polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menghubungi saya. Dia cakap kes macam ni perkara biasa, dan polis pun tak boleh buat apa-apa.
"(Pegawai itu kata) dalam apa jua keadaan, wang itu biasanya akan dikembalikan selepas unit penipuan bank selesaikan siasatan, tapi ini akan ambil masa," kata mangsa.
Seorang lagi pemegang akaun Maybank berkata dia mengetahui ada ramai lagi pengguna yang menghadapi pengalaman serupa pada hujung minggu.
"Teknologi seperti ini sepatutnya menjadikan hidup kita lebih mudah, tetapi entah bagaimana ia jadi sebaliknya," katanya.
Mangsa berkata, bank hanya memberitahunya perkara itu sedang dalam siasatan dan dia masih belum mendapatkan wangnya semula sehingga kini.
Mangsa kedua yang juga enggan dikenali berkata dia segera menghubungi Maybank selepas rentetan pemberitahuan transaksi pelik muncul pada telefonnya pada 19 Okt.
“Saya sedang menonton televisyen di rumah apabila notifikasi mula masuk ke telefon saya. Potongan itu berlaku setiap saat sehingga akaun saya telah dikurangkan kepada RM1.
"Apabila saya melihat pemberitahuan itu, saya terus menghubungi talian penipuan bank," katanya kepada Malaysiakini.
Katanya lagi transaksi itu masih berlaku apabila dia mengadu kepada Maybank.
“Saya rasa terdapat kira-kira lima hingga tujuh soalan untuk mengesahkan identiti saya dan pada masa pengesahan selesai, akaun saya telah dipadamkan,” katanya.
Mangsa kedua pula mendakwa dia jarang menggunakan kad debitnya dan sentiasa disimpan di tempat selamat.
Dia juga tidak pernah menggunakan kad itu untuk mana-mana perkhidmatan dalam talian.
"Inilah sebabnya saya hairan bagaimana penjenayah boleh mendapatkan nombor kad dan butiran saya," katanya.
Dia membuat laporan polis dan aduan kepada Bank Negara. Maybank akhirnya mengkreditkan semula wang itu ke akaunnya semalam.
Dia berkongsi pengalamannya di media sosial mengenai kejadian itu dan apa yang mengejutkannya, beberapa kenalannya juga menghadapi masalah yang sama.
Mangsa kedua meluahkan kekecewaannya terhadap cara Maybank mengendalikan isu itu dan mengatakan adalah tidak bertanggungjawab apabila bank itu tidak memberitahu pelanggan mengenai perkara itu.
“Mereka patut sekurang-kurangnya beritahu pelanggan bahawa ini sedang berlaku atau sekurang-kurangnya beri amaran kepada orang ramai agar melihat had transaksi dan menghentikannya.
“Saya rasa ia sangat tidak bertanggungjawab di pihak Maybank dan mungkin lebih ramai orang terkena.
"Sekurang-kurangnya yang boleh mereka lakukan ialah beri amaran kepada pelanggan," katanya.
Kesemua kes yang ditemui oleh Malaysiakini melibatkan caj yang dibuat kepada merchant Google Scott Wolf.
Maybank nafi isu keselamatan
Dalam respons kepada Malaysiakini, Maybank mendakwa bank itu tidak menghadapi sebarang isu keselamatan.
Sebaliknya, pihak bank itu berkata kes berkenaan melibatkan urus niaga e-dagang tanpa kebenaran menggunakan butiran kad pelanggan, dan meminta agar pelanggan berhati-hati menjaga butiran kad mereka.
“Bank ini ingin menyatakan bahawa tiada isu keselamatan yang terjejas berkaitan kad kredit/debit kami.
"Pelanggan dinasihatkan untuk menjaga butiran kad mereka dengan berhati-hati pada setiap masa untuk mengelakkan penggunaan tanpa kebenaran oleh pihak ketiga," kata Maybank dalam e-mel melalui Jabatan Komunikasinya.
Bank itu juga menggesa pemegang kad yang mengesan transaksi luar biasa untuk segera menghubungi talian khidmat pelanggan Maybank di 1300-88-6688 atau merujuk kepada nombor di belakang kad mereka untuk membuat aduan.
“Ini akan membolehkan bank untuk segera menangani sebarang transaksi yang mencurigakan dan mengatur pembayaran balik yang perlu jika pemegang kad telah menjadi mangsa kepada sebarang aktiviti penipuan atau tanpa kebenaran.
"Dalam kes di mana urus niaga tanpa kebenaran itu berlaku tanpa kebenaran pemegang kad, mereka boleh mempertikaikan urus niaga itu dan bayaran balik akan dibuat jika urus niaga itu didapati tidak dibenarkan setelah disiasat," katanya.
Ketika ditanya berapa banyak aduan serupa yang diterima daripada pelanggan setakat ini, jurucakap Maybank berkata mereka tidak melihat sebarang peningkatan dalam kes penipuan kad yang dilaporkan oleh pelanggan.
Bank Negara beri jaminan isu akan ditangani
Bank Negara memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua bank berlesen dikehendaki menggunakan sistem kawalan dan perlindungan yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan operasi perbankan.
“Sehubungan itu, Bank Negara akan memastikan insiden ini ditangani dengan segera dan saksama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mekanisme yang diperlukan oleh bank termasuk pengesahan untuk semua transaksi dan pengeluaran, katanya.
Bank pusat itu menambah ia mungkin mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan tambahan dan berkata orang ramai boleh menghubungi Telelink BNM untuk maklumat dan bantuan di talian 1300-88-5465 pada waktu bekerja pada hari bekerja.
Orang ramai juga boleh mengemukakan pertanyaan atau aduan secara dalam talian atau mendapatkan rundingan secara bersemuka mulai 1 Nov di pejabat BNMLink di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur dengan membuat tempahan temu janji menggunakan pautan yang sama.