Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Sutradara itu statusnya tinggi dalam produksi dan sebahagian besar daripada mereka mempunyai ego tersendiri. Selama 33 tahun menjadi orang akhbar, sempatlah saya mendampingi puluhan pengarah filem tanah air.

Namun daripada sekian ramai sutradara itu, yang pernah menelefon saya rasanya tidak sampai tujuh orang. Salah seorang daripada mereka ialah Mamat Khalid.

Panggilan daripada Mamat Khalid itu cukup dramatik dan dibuat bagi meredakan emosi di antara pelakonnya dengan media. Kalau diikutkan kebiasaan, itu bukanlah kerja seorang sutradara.

Usaha menjernihkan sebarang kekeruhan atau kekusutan di antara pihak produksi dengan media adalah tugas produser melalui pasukan perhubungan awam (PR).

Umpamanya kes Hussein Haniff menampar wartawan Aimi Jarr yang menjadi kontroversi pada era 1960-an dahulu. Pihak Cathay Keris Filem selaku produser diwakili seniman S Roomai Nor mengatur perdamaian bagi kedua-dua pihak itu (wartawan dan produser).

Tidak lekang dari ingatan bagaimana Mamat Khalid menghubungi saya meminta bantuan agar filem arahannya Rock pada 2005 diberikan promosi. Justeru dua pelakonnya - Khir Rahman (Jijoe) dan Sofi Jikan (Zul Kapan) - disuruh ke Balai Berita di Bangsar untuk sesi fotografi.

Pagi itu urusan di pejabat berserabut sekali. Saya perlu mengatur tugasan wartawan, memo daripada pihak pengiklanan perlu dilayan, telefon pula sentiasa berdering sambil-sambil menyunting berita dan pelbagai hal lain.

Khir memperkenalkan dirinya dan sahabatnya itu. Sofi Jikan menghulurkan tangan kanan untuk bersalaman sambil satu lagi tangan memegang bungkusan plastik berisi air.

Saya kurang senang dengan sikap Sofi Jikan itu yang boleh dianggap kurang beradab. Melalui pengalaman menemuramah artis tempatan dan antarabangsa - termasuklah vokalis Scorpion, Klaus Meine - tidak pernah pula mereka bercakap sambal minum air dalam plastik.

Lalu saya meminta Sofi Jikan keluar dahulu untuk menghabiskan minumannya dan sesudah itu baru datang semula untuk wawancara.

Tunggu punya tunggu, Sofi tidak muncul. Rupa-rupanya, menurut Khir, dia balik terus!

Sejam dua kemudian, Mamat Khalid menelefon untuk bertanyakan insiden itu. Bagi pihak produksi dia mohon maaf. Kata Mamat Khalid, dia sempat telefon Sofi Jikan dan dijawab pelakon itu lebih kurang begini: “Kalau diikut hati, saya nak 'rembat' editor itu...”

Penjelasan itu mencetuskan kelucuan padanya. Ia menjadi lebih lucu apabila Mamat Khalid kata: "Abang dah cakap pada dia (Sofi), kamu jangan buat hal nak pukul editor, nanti rosak gambar abang!”

Mudah ditemu ramah

Selang seminggu kemudian kami bertemu dan Mamat Khalid bercerita memuji-muji bakat luar biasa Sofi Jikan. Cuma, katanya, pelakon ada pelbagai ragam dan dia percaya pelakonnya itu akan dapat mengawal emosi serta disukai peminat.

Ibrah daripada insiden itu, hubungan saya dengan Sofi Jikan menjadi lebih akrab kemudiannya.

Kalangan wartawan lebih mudah berjumpa Mamat Khalid berbanding editor yang sepanjang masa terperap di pejabat. Boleh dikatakan kesemua anak buah saya sudah diberi peluang menemu ramah pengarah itu. Bahkan salah seorang daripada mereka (Nasif Badruddin) yang baru tiga minggu bekerja sudah diarah ke Taiping untuk membuat liputan penggambaran filem Rock tersebut.

Biar mereka cepat berasa yakin apabila bertemu orang hebat.

Berbeza pada era awal saya bekerja di syarikat besar, mahu menemu bual tokoh seperti Jins Shamsuddin atau Rahim Razali agak payah. Sewaktu filem Zombie Kampung Pisang dikritik hebat, saya minta seorang lagi anak buah, Nor Akmar Samudin, menemu ramah secara eksklusif Mamat Khalid untuk kolum Interaksi pada 25 April 2007.

Mamat Khalid kekal rasional tetapi sentap juga apabila meluahkan emosinya.

"Saya boleh terima kritikan tetapi biarlah seimbang, jangan berat sebelah.

"Sejurus selepas membaca kritikan itu, saya terus rasa tidak tenteram. Faham sahajalah, satu Malaysia baca tetapi sejam kemudian, saya kembali tenang,” katanya.

Biarpun sama-sama sibuk, sempat juga saya makan tengah hari bersama Mamat Khalid dan Pengurus Penerbitan Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai di Mid Valley. Ketika itu mereka dalam proses menghasilkan filem Kala Malam Bulan Mengambang.

Sesiapa yang berborak dengan Mamat Khalid, dia akan cepat berasa mesra seperti bertemu kawan lama.

Ketika Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM-22) di Kota Kinabalu pada 2009, sebaik majlis berakhir Mamat Khalid mengajak saya minum bersama produser Raja Azmi Sulaiman di salah satu kafé di sana. Sambil membuat ‘post-mortem’ FFM-22 itu, kami berborak dan bergelak ketawa.

Mamat Khalid menceritakan projek filem terbarunya, Estet. Katanya filem itu melibatkan ramai pelakon India seperti Shashi Tiran, Jasmine Michael, KS Maniam, T Mohan, Gandhi Nathan, S Veerasingam dan David Arumugam.

Mamat cadang mahu mengatur wawacara dengan pelakonnya itu terutama Jasmine kerana dia mahu peminat Melayu mengenali mereka terlebih dahulu.

Sebelum itu saya membeli buku perihal kehidupan liar hutan Borneo. Pada buku itu ada terpampang gambar seekor monyet Belanda (proboscis monkey) dengan kemaluannya kelihatan.

Sambil menunjukkan gambar itu, saya mengusik Mamat agar dia menghasilkan filem Romeo Rimba pula. Mendengar judul dan melihat gambar itu, Mamat ketawa.

Dekat dengan masyarakat

Kami mula mereka-reka sinopsis Romeo Rimba itu digilai semua binatang kecuali buaya. Judul itu rupa-rupanya melekat di minda Mamat, lalu setiap kali kami terserempak, dia akan menyapa: "Romeo Rimba!"

Mamat dilahirkan pada 6 April 1963 dan merantau ke Jerman pada 1989 sebelum pulang ke tanah air pada 1994. Bidang pengarahan diceburinya selepas menghantar portfolio kepada penerbit Nizarman (M) Sdn Bhd iaitu Ruhani Abdul Rahman.

Lalu terhasillah drama pertamanya, Yasin, lakonan Harun Salim Bachik. Pelbagai drama diarahkan kemudian seperti Arbaei Kembali Bujang dan Pinang Durian tetapi yang subur dalam ingatan penonton ialah Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel serta Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya.

Impak drama itu menjadi trademark dan begitu kuat hinggakan apa sahaja rombongan termasuklah grup Puspanita akan dikaitkan dengan Cik Kiah. Biarpun dialog utamanya loghat Perak tetapi mudah ia difahami penonton.

Apa yang paling mahal pada drama itu ialah bagaimana watak-watak yang dicipta mengembalikan kita ke waktu silam, iaitu zaman indah di kampung. Loghat Perak turut menjadi trademark Mamat dalam siri filem Hantu Kak Limah.

Biarpun karya Mamat Khalid dinilai segelintir pihak sebagai 'kekampungan' tetapi sentuhan magisnya tetap menjadi dan boleh membawa untung kalau dinilai dari segi ekonomi.

Umpamanya filem Zombi Kilang Biskut mencatat kutipan RM1.55 juta; Rock Oo (RM3.95 juta); Rock Bro (RM5.39 juta); Husin, Moon dan Jin Pakai Toncit (RM5.89 juta); Hantu Kak Limah Balik Rumah (RM7.90 juta) dan Hantu Kak Limah (RM36.23 juta).

Berdasarkan rekod Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, filem yang mencatatkan kutipan tertinggi setakat ini masih dipegang filem Munafik (RM37.74 juta) arahan Syamsul Yusof.

Yang mendekatkan Mamat Khalid pada masyarakat bukan sahaja karyanya yang sarat dengan unsur Melayu, tetapi tuah namanya sendiri. Tradisi orang kita sekiranya ada ahli keluarga bernama Muhammad atau Ahmad, akan dipanggil Mamat atau Mat sahaja.

Ia kedengaran lebih mesra, santai dan ada unsur komersial. Kerana itulah berpuluh lagu memuji-muji wanita terselit juga lagu untuk lelaki, Ahmad nyanyian Arrora Salwa.

Lebih pasti nama Mat mengatasi Abu. Kita cuma ada filem Abu Hassan Pencuri dan Abu Nawas, berbanding watak Mat dalam filem Mat Bond, Mat Tiga Suku, Mat Raja Kapur, Mat Toyol, Mat Magic, Mat Tenggek, Mat Som, Mat Moto dan yang terbaru Mat Bond Malaya arahan Nabil Ahmad lakonan Naqiu dan Elizabeth Tan.

Kita sedia maklum sebelum Mamat Khalid muncul dalam arena perfileman tanah air, nama Mamat sudah terbiasa di minda dengan penghasilan komik Keluarga Si Mamat karya abangnya, Lat.

Menghayati pelbagai filem karya Mamat Khalid yang sarat dengan kritikan sosial terhadap bangsa, masyarakat dan negara, bagaikan sudah sempurnalah amanah yang digalas melalui ilham dikurniakan Illahi kepadanya.

Yang tersirat dan tersurat dalam filem-filem arahan Mamat khalid itu dikupas pengkaji sejarah filem, Hassan Muthalib dan Azlan MD pada 2019 dalam buku Cherita, Sutradara & Seniman Mamat Khalid.

Kupasan itu mencakupi industri hiburan dan sosial, remaja, identiti dan aspirasi, dan politik dan hala tuju negara. Malangnya setakat ini tiada buku biografi eksklusif mengenai Mamat Khalid dihasilkan.

Pengarah genius itu menghembuskan nafas terakhir pada 24 Okt lalu akibat serangan jantung. Ramai penggiat industri terkesan dengan kematian Mamat Khalid, hinggakan ada yang melebelkan hiba dirasa sama seperti kehilangan P.Ramlee.

Hakikatnya masalah kesihatan sudah dihadapi Mamat Khalid sejak 2017 dan pada 2019 dia koma selama 21 hari di hospital.

Melalui wawancara bersama Rosyam Nor di Suhan Channel (Youtube), Mamat Khalid berkongsi momen hari-hari komanya, dan bagaimana rohnya merentasi alam yang dirasakan persis dalam filem apabila menempuh adegan berbeza setiap hari.

“Abang tak tahu apakah mahu gembira atau keliru. Sebaik sedar dan berpijak ke bumi nyata, abang reda dengan ketentuan Tuhan. Abang rasa banyak yang Tuhan beri, sedikit yang abang kasi,” katanya.


ADAM SALLEH ialah bekas pengarang akhbar kumpulan Media Prima.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS