Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Melaka antara ajal dan maut bagi Umno, kata Tok Mat

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai antara "ajal dan maut" bagi Umno.

Jelas Mohamad yang juga timbalan presiden Umno, PRN Melaka adalah cerminan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

"PRN Melaka amat penting kepada parti kita, ia ukaran prestasi untuk hadapi PRU15, bertembung antara 'ajal dan maut'.

"Jika tidak betul urus, maut menanti," katanya ketika berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Jemaah Penasihat BN, Najib Razak, Setiausaha Agung BN, Zambry Kadir dan pemimpin parti komponen BN.

PRN Melaka diadakan selepas empat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) diketuai bekas ketua menteri, Idris Haron menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka pimpinan Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka adalah pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov depan.

'Bukan nak tubuh kerajaan Melayu Islam'

Dalam pada itu, Mohamad berkata Melaka adalah kubu kuat Umno dan ramai mahu melihat parti itu kecundang dalam pilihan raya negeri itu.

"Orang nak lihat kita kecundang di Melaka, banyak orang nak kuburkan kita di Melaka.

"Kita lihat siapa yang nak ditalkinkan dan dikuburkan di Melaka," katanya lagi.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut mengajak rakan komponen BN supaya bergerak sebagai satu pasukan, sambil mengingatkan hasrat gabungan itu bukan untuk menubuhkan kerajaan 'Melayu dan Islam'.

"Kita bukan nak tubuh kerajaan Melayu, bukan kerajaan Islam, kita nak tubuh kerajaan BN yang berbilang bangsa," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS