Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Rundingan pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah selesai 90 peratus.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini berkata pembahagian kerusi itu akan dimuktamadkan dalam minggu ini.

Ketika ditanya mengenai calon ketua menteri yang akan diketengahkan PH, Adly hanya berkata: “dapatkan majoriti dahulu”.

Mengenai rundingan PH bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) seperti yang dimaklumkan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini, bekas ketua menteri itu berkata PH terbuka untuk perbincangan.

“PH sedia buka pintu perbincangan supaya pembangkang boleh sepakat dan mempunyai satu calon sahaja,” katanya.

Syed Saddiq hari ini dilapor berkata MUDA berhasrat bertanding dan kini berunding dengan PH bagi meletakkan calon MUDA pada PRN berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS