Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
84 kematian Covid-19 dilaporkan semalam
Diterbitkan:  Oct 27, 2021 10:06 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 84 kematian Covid-19 semalam (26 Okt), menjadikan jumlah kumulatif kematian 28,576.

Daripada kes kematian yang baru dilaporkan semalam, 23.8 peratus atau 20 meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Sarawak mencatatkan kes kematian baharu tertinggi iaitu 19, membentuk 22.6 peratus daripada kematian baharu dilaporkan.

Korban selebihnya di Sabah (16), Perak (12), Selangor (8), Johor (7), Terengganu (7), Kedah (6), Kelantan (5), Melaka (1), Pahang (1), Pulau Pinang (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tiada kematian baharu dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 67 daripada 84 kematian yang dilaporkan atau 79.8 peratus berlaku dalam tempoh tujuh hari lepas.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 105 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 73, menunjukkan aliran menurun.

Sehingga kini, 2,368 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 9,680 kematian Covid-19 dilaporkan pada September, 7,642 pada Ogos, 3,858 pada Julai dan 2,380 pada Jun.

Sehingga semalam, terdapat 73,258 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 16.0 peratus daripada 87,184 jangkitan aktif seminggu yang lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 60.0 peratus daripada 183,290.

Kemas kini selepas tengah malam Kementerian Kesihatan juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baharu Covid-19 semalam.

Daripada 5,726 kes baharu semalam, sebanyak 210 daripadanya boleh dikesan kepada kluster Covid-19 yang masih berterusan.

Daripada kes berkaitan kluster, 169 (80.5 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 25 (11.9 peratus) adalah dari institusi pendidikan.

Lima belas lagi (7.1 peratus) adalah daripada kluster yang dikaitkan dengan penularan komuniti.

Baki kes dikesan kepada kluster yang berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS