PULASAN | Tanggapan yang meluas dulu memang begitu. Ia mungkin tidak begitu, tetapi ada yang melihat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai akar tunjang dan terasnya manakala jabatan pendidikan di peringkat negeri hingga ke pejabatnya di peringkat daerah dan sekolah adalah anak-anak tangga untuk sesiapa yang bercita-cita tinggi dalam politik.
Memanglah yang ramainya ialah para guru yang ikhlas mendidik anak bangsa. Mereka menjadi guru kerana minat dan rasa tanggungjawab. Pun begitu tidak dinafikan juga ada segelintir guru itu menjadi guru sebab tidak ada pilihan lain.
Sejarah membuktikan betapa kita amat banyak terhutang budi kepada golongan pendidik atau guru untuk apa yang sedang dikecapi sekarang. Siapa yang meniupkan kesedaran mengenai pentingnya memerdekakan negara dan minda kalau bukan - antaranya - para guru dan pendidik?
Bersama cendekiawan lain seperti ulama, penulis dan sasterawan, pada guru dan pendidik 'menghasut' anak bangsa supaya menyedari bahawa kita berhak hidup sendiri, tanpa ditentukan nasibnya oleh negara lain.
Kemudian datanglah peluang demi peluang selepas itu. Apabila negara ini merdeka dan rakyat melihat perlahan-lahan politik adalah jalan pintas untuk berkuasa serta kaya-raya, bidang pendidikan menjadi lebih daripada sekadar dunia memandaikan anak bangsa.
Pendidikan juga menjadi lubuk membiakkan angan-angan. Di sana ada sekumpulan orang yang gemar mengambil kesempatan, termasuk di atas nasib malang orang lain. Atau lebih teruk, dengan memangsakan rakan-rakan sekerjaya.
Persepsi awam sebelum ini ialah, seseorang guru yang dibawa ke pejabat pendidikan daerah (PPD) atau jabatan pendidikan negeri ialah guru yang aktif dalam politik Umno. Sesetengahnya mungkin ada jawatan tertentu di peringkat cawangan atau bahagian.
Hal itu kerana pernah berlaku suatu ketika dulu, guru-guru yang tidak sehaluan dengan Umno atau parti pemerintah - siapa lagi kalau bukan BN - akan ditukarkan tempat kerjanya. Biasanya ke lokasi pedalaman atau terpencil.
Kadang-kadang proses pertukaran itu bermula dengan rungutan ketua kampung atau pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung saja.
Lebih menyedihkan kadang-kadang seseorang guru itu dilabel sebagai pembangkang hanya kerana dia sesekali bersuara lantang, atau kurang bersetuju dengan sesuatu dasar kerajaan, sedangkan dia bukan menganggotai mana-mana parti pembangkang pun.
Tak pakai baju seragam ke sekolah
Kita berfahaman bahawa asalkan tidak bersetuju dengan kerajaan, seseorang itu adalah pembangkang. Fahaman simplistik itu masih berakar umbi sehingga ke hari ini, malangnya.
Pada masa sama majoriti orang politik yang bertuah menjadi perdana menteri di negara ini pernah menjadi menteri pendidikan. (Dan atas dasar itu jugalah kita kadang-kadang cemas melihat orang politik yang dilantik menjadi menteri pendidikan dan membayangkan bagaimana kalau mereka menjadi perdana menteri.)
Tanggapan itu mungkin pernah berkurang suatu ketika. Dasar pendidikan negara dilihat cuba diubah untuk memberikan makna yang sebenar. Atau lebih tepat membawa ia kembali ke landasan yang sepatutnya. KPM cuba dibebaskan daripada lubuk membina pengaruh dan menjadi batu loncatan dalam politik.
Kini KPM menjadi perhatian lagi. Mulai 1 Nov sesi persekolahan bersemuka kembali. Pintu-pintu sekolah dibuka secara berperingkat untuk membolehkan lebih ramai pelajar kembali ke bilik darjah.
Ia adalah langkah yang sepatutnya. Dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat, ia diharap dapat mengembalikan suasana normal yang pernah kita nikmati sebelum Covid-19 muncul.
Tetapi ada suatu keputusan KPM yang boleh dipuji sungguh-sungguh. Kebenaran diberi kepada para pelajar untuk tidak berpakaian seragam bolehlah dianggap sebagai salah satu langkah terbaik diambil kerajaan berhubung dunia pendidikan dalam tempoh satu atau dua tahun ini.
Selain memberi kelapangan kepada keluarga tertentu yang kurang berkemampuan membeli seragam baru misalnya, membenarkan pelajar bebas daripada budaya hidup yang monolitik adalah langkah awal untuk membina fikiran yang besar buat generasi baru.
Sudah berpuluh-puluh tahun kita membenarkan anak-anak kecil hidup dengan kongkongan yang menyumbang kepada gaya fikir yang tidak kreatif. Juga aliran pemikiran yang hanya taat, mendengar, mengangguk, menghafal dan memburu kecemerlangan yang didefinisikan kepada pencapaian akademik di atas sekeping sijil.
Itu belum lagi kebodohan amat tebal peraturan yang memaksa anak-anak bertali leher - dan kadang-kadang berweskot - di bawah teriknya matahari dan cuaca hangat lagi lembab di Malaysia.
Kemudian kita pun berharap anak-anak belajar dengan selesa dan gembira di bilik darjah yang berbahang. Apabila pencapaian akademik mereka tidak seperti yang diharapkan, ibu bapa sedih seolah-olah masa depan mereka sudah gelap gelita, manakala pihak sekolah begitu cemas seakan-akan esok Israfil akan meniup sangkakala.
Masing-masing mengejar indeks prestasi utama (KPI) ketika sekolah sepatutnya menyemai hal yang lain. Misalnya pemikiran kreatif dan inovatif.
Sikap terbuka dan lapang dada
Pada 1 Nov ini kelonggaran diberi KPM dan keterbukaan fikiran pihak sekolah akan diuji. Ibu bapa juga akan teruji. Dijangkakan pihak sekolah akan bersikap seakan-akan bilik darjah yang terbuka hanya sebelah daun pintunya. Diramalkan juga pihak sekolah akan memberi isyarat bahawa adalah lebih wajar anak-anak berpakaian sukan sekolah atau persatuan yang ada, bukan bebas yang bermakna.
Maklumlah, nak membantah, takut bercanggah dengan pengumuman menteri. Nak dibiarkan bebas sepenuhnya takut dijeling pegawai PPD atau pengarah di peringkat negeri.
Kebanyakan ibu bapa pula rasanya akan teragak-agak untuk memakaikan anak mereka dengan pakaian yang bukan seragam sekolah. Ia dapat difahami kerana mereka juga adalah produk yang dilahirkan oleh sistem persekolahan yang kaku tidak bertempat.
Ia seperti suatu rantaian sumpahan yang tidak berkesudahan. Ibu bapa bimbang akan nasib anak masing-masing di sekolah jika menyanggah apa-apa nasihat yang dikeluarkan pihak sekolah. Tetapan fikiran kebanyakan ibu bapa ialah, kalau bersuara sedikit lebih, ada kemungkinan anak mereka akan ditekan secara tidak langsung di sekolah.
Pihak sekolah pula perlu memikirkan apa dikatakan pejabat pendidikan daerah, manakala PPD selalu gamang dengan pengarah pendidikan negeri. Dan pengarah pendidikan sepatutnya perlu membuat KPM sentiasa berasa gembira.
Kejayaan terhebat bidang pendidikan kita sejak sekian lama dimaknakan dengan peratusan pelajar yang lulus cemerlang dalam sesuatu peperiksaan.
Minggu depan KPM akan dilihat sama ada mampu bersikap terbuka dan berlapang dada. Namun tidak banyak yang dapat diharapkan pun kerana di bawahnya itu adalah pihak yang selalu mahu menggembirakan pihak atasan.
Secara langsung atau tidak, ia ada kaitan dengan dogma yang ditanam secara bawah sedar sejak selepas merdeka dulu. Kerana itu kita boleh melihat - di ambang 2022 ini - masih ada orang yang berhujah menggunakan Snouck Hurgronje untuk menjelaskan isu kejumudan minda.
Suka atau tidak, kita perlu mengakui bahawa sikap OK kepada perbuatan melawakkan gangguan seksual adalah hasil daripada kejayaan sistem pendidikan yang dianuti sejak berpuluh-puluh tahun silam.
Atau menyindir dan memandang serong tindakan mana-mana pihak membangkitkan isu gangguan seksual. Apabila ada pelajar yang mengadu akan ketempangan pengurusan pendidikan, orang lebih berminat bercakap mengenai fizikal mangsa berbanding isu yang dibangkitkannya.
Ia bukan lagi sikap beraja di mata bersultan di hati tetapi sudah menjadi berahi di mata bernafsu di hati.
Juga pelbagai stigma yang membelenggu kita selama ini. Misalnya gejala rasuah hanya dianggap salah kalau ditangkap pihak berkuasa. Atau tidak berasa jijik terhadap perbuatan orang politik menjual maruah atas kepentingan diri sendiri sambil melacurkan nama rakyat tanpa secuit pun rasa malu.
Tidak ketinggalan cerita-cerita melobi untuk mendapatkan pangkat, kedudukan, jawatan, pengiktirafan serta ijazah kehormat dari universiti.
Dunia pendidikan sepatutnya dimurnikan sejak dulu lagi. Kita sudah jauh tertinggal dan waktu begitu terlewat. Pun begitu kita tidak ada pilihan kecuali cuba mengubahnya juga walau sudah selambat mana pun.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu berasa sayu melihat bangunan sekolah selalu menjadi sunyi.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.