Ahli Dewan Negara Senator Guan Dee Koh Hoi yang juga setiausaha agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, petang ini.
Star Sabah dalam kenyataan di laman Facebook penerangannya hari ini memberitahu Guan Dee, 67, meninggal dunia pada 4.50 petang namun punca kematian tidak dinyatakan.
"Dukacita dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Senator Guandee Kohoi telah dipanggil Tuhan pada jam 4.50pm, 26 Okt 2021 di Hospital Kuala Lumpur. Sama-sama kita doakan beliau serta keluarga," kata kenyataan itu hari ini.
Guandee dilantik sebagai ahli Dewan Negara untuk tempoh bermula 16 Dis 2020 hingga 15 Dis 2023,
Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada 16 April lepas sebelum kabinet terbubar setelah Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos lepas.
Sementara itu, Presiden Star Sabah Dr Jeffrey Kitingan berkata Guan Dee berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) pada petang Ahad (24 Okt) namun tidak menghadiri mesyuarat itu selepas disahkan positif Covid-19.
Kitingan berkata Guan Dee dibawa ke hospital pada lima pagi tadi oleh pembantunya selepas mengadu sakit dada.
“Beliau adalah seorang sahabat setia dan amat disayangi. Beliau bersama saya melalui susah dan senang, walaupun ketika saya tidak punya apa-apa, beliau tidak pernah meninggalkan saya. Sukar untuk mencari penggantinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula berkata mendiang adalah antara tokoh pengasas penubuhan Perikatan Nasional (PN) serta banyak memberi sumbangan dan bakti kepada negara dan parti.
Beliau menyifatkan mendiang Guan Dee sebagai seorang yang rendah diri dan gigih dalam membina PN tidak hanya di peringkat negeri Sabah, tetapi juga di peringkat nasional.
”Pemergian Senator Guan Dee adalah kehilangan besar bagi PN dan seluruh negara khususnya negeri Sabah. Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang dan semoga tabah menghadapi suasana pilu ini,” menurutnya dalam kenyataan.
-Bernama