Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1,797 dapatkan rawatan mental di Terengganu dari Jan-Sept

Seramai 1,797 individu di Terengganu telah mendapatkan rawatan kesihatan mental sejak Januari hingga September lepas, manakala sepanjang tahun lepas 2,144 individu mendapatkan rawatan berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata ketika ini terdapat dua Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di Terengganu yakni di Wakaf Tapai, Marang dan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau berkata antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah rawatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi kepada individu yang mengalami kemurungan serta pengurusan kes berkaitan tingkah laku bunuh diri.

"Ini termasuk Perkhidmatan Klinik Minda Sihat di semua klinik kesihatan yang telah ditambah baik dan dikendalikan oleh pegawai terlatih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Psikiatri HSNZ di Kuala Terengganu hari ini.

"Antara inisiatif serta usaha yang telah dilakukan oleh JKNT untuk memperkasakan masyarakat dalam penjagaan kesihatan mental ialah mengukuhkan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial dan penempatan pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah dan klinik kesihatan," katanya.

Dr Kasemani berkata Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di semua klinik dan hospital juga memberi perkhidmatan sokongan emosi kepada individu dalam masyarakat yang terkesan akibat dari pandemik dan krisis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS