mk-logo
Berita
Larangan kempen semuka PRN tak sihat untuk demokrasi - Penganalisis
Diterbitkan:  Oct 26, 2021 8:04 AM
Dikemaskini: 12:04 AM

Seorang penganalisis politik menolak tindakan Kementerian Kesihatan melarang semua perhimpunan awam berkaitan pilihan raya Melaka yang akan datang.

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata larangan yang akan menamatkan kebanyakan bentuk kempen fizikal atau bersemuka bertentangan dengan semangat demokrasi dan pilihan raya yang sebenar.

"Alasan Covid-19 tak boleh digunakan sebagai alasan larangan kempen bersemuka kerana sekarang sudah Fasa Empat PPN dan Covid-19 kini merupakan endemik dan bukan lagi pandemik," katanya pada satu kenyataan semalam.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) patut mengambil serius larangan ini dan pastikan larangan tak dilaksanakan secara total kerana ia dilihat tidak sihat untuk demokrasi," kata Awang Azman.

Ketika mengumumkan langkah itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia langkah mencegah satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 kerana data kes baru-baru ini berkaitan dengan perhimpunan sosial yang diadakan ketika sempadan negeri dibuka semula.

Sebelum pengumuman Khairy, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah meminta SPR untuk melarang semua bentuk kempen fizikal.

Bagaimanapun, Azman berkata larangan itu juga bercanggah dengan tujuan kempen pilihan raya untuk membolehkan interaksi antara pengundi dan calon pilihan raya.

Tambahan pula, katanya pengundi mungkin akan kurang mengenali bakal wakil rakyat mereka dengan sekatan terhadap komunikasi langsung yang biasanya dilakukan dalam perhimpunan.

"Sepatutnya sebelum apa-apa keputusan ia perlu melibatkan penglibatan awam atau townhall bagi dapat maklum balas.

"Malah semua parti bertanding patut dibawa bincang dan SPR sepatutnya memastikan terdapat persetujuan konsensus semua parti sebelum membuat apa-apa keputusan melibatkan keterhakisan dan hak demokrasi kalangan pengundi," katanya lagi

Menjelang hari penamaan calon pada 8 Nov, Awang Azman memberi amaran kemungkinan bantahan terhadap larangan itu, akhirnya meletakkan risiko peratusan keluar mengundi yang lebih rendah ketika hari pengundian pada 20 Nov.

"Ini juga akan menyebabkan semua parti politik akan marah-marah, protes, tak puas hati dan tak bersedia ke arah tersebut.

"Sedangkan di tempat awam seperti pusat membeli belah dan sektor pelancongan sudah terbuka luas," jelasnya.

NGO Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini melabelkan larangan itu sebagai 'menghakis demokrasi' menunjukkan bagaimana ia akan merugikan parti politik yang bukan sebahagian daripada parti pemerintah kerana sikap berat sebelah oleh media kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS