mk-logo
Berita
MP cadang parti-parti tandingi PRN diberi akses sama rata di TV
Diterbitkan:  Oct 25, 2021 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mendesak kerajaan untuk memastikan akses media yang sama terhadap parti-parti yang terlibat dalam pilihan raya Melaka.

Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berkata ini memandangkan keputusan Putrajaya untuk melarang kempen dan perjumpaan secara bersemuka bermula hari ini di Melaka.

"PRN Melaka calon tak boleh jumpa pengundi.

"Saya minta kerajaan beri jaminan seperti yang berlaku semasa pilihan raya di Singpaura iaitu medium media seperti TV, radio perlu beri akses sama pada semua parti bertanding.

"Bagi sama rata pada BN, PH," katanya.

Nik Nazmi bercakap semasa perbahasan usul untuk membatalkan tujuh ordinan darurat.

Semasa pemilihan Parlimen Singapura tahun lalu, Lembaga Pembangunan Media Infocomm memperkenalkan Siaran Politik Konstituensi (CPB) melalui saluran televisyen awam.

Pendekatan ini dikatakan dibuat "sekali sahaja" untuk pilihan raya 2020 memandangkan pandemik Covid-19.

Calon diperuntukkan 3 minit masa siaran untuk kawasan pilihan raya wakil tunggal dan sehingga 15 minit untuk calon kawasan pilihan raya dengan lima wakil rakyat.

Pun begitu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal penyiaran awam, tidak menanggapi cadangan Nik Nazmi semasa ucapan penggulungannya.

Terdahulu, Nik Nazmi berkata peraturan Putrajaya untuk kempen pilihan raya Melaka sekurang-kurangnya dapat membenarkan calon bertemu pengundi, mengadakan lawatan rumah ke rumah atau perhimpunan kecil-kecilan.

Jelasnya, apa yang diperlukan adalah protokol yang lebih ketat berbanding semasa pilihan raya Sabah tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS