Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Terlalu meluas' - Ahmad bantah larangan himpunan, majlis sosial PRN Melaka

PARLIMEN | Ahli parlimen Pontian Ahmad Maslan menyuarakan rasa tidak setuju dengan larangan menyeluruh terhadap himpunan secara fizikal dan majlis sosial yang berkaitan dengan PRN Melaka yang bakal dilaksanakan bulan depan.

“Kita tahu bahawa SOP di Melaka ini yang agak kita tidak boleh terima…saya sendiri sebagai anggota parlimen yang menyokong kerajaan, tidak boleh terima apa yang disebut (oleh KKM).

“Tapi tanggapan itu terlalu luas. Sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan.

“Kalau kita baca ayat itu, ia juga bermaksud sebarang aktiviti berkaitan PRN adalah tidak dibenarkan berkuatkuasa hari ini hingga 27 Nov. Kita nak buat PRN tapi sebarang aktiviti mengenai PRN tak boleh dibuat,” katanya ketika perbahasan pembatalan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebarang kegiatan, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka - termasuk ketika kempen - adalah tidak dibenarkan.

Larangan berkuat kuasa hari ini sehingga 27 November itu bagi mengelakkan peningkatan kes dan kluster Covid-19 yang berisiko tinggi menular dalam perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

Khairy membangkitkan kebimbangan terhadap jangkitan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes Covid-19 baru yang dilaporkan.

Berhubung perkata itu, Ahmad berkata laman web KKM telah menyatakan risiko penularan varian Delta dalam kalangan mereka yang telah menerima vaksin adalah rendah, dan walaupun boleh dijangkiti, gejalanya tidak akan begitu teruk.

“Itu dalam laman web KKM tapi ia dijadikan alasan untuk tidak boleh dilakukan sebarang aktiviti ketika PRN Melaka.

“Itu saya harap disemak semula oleh kerajaan supaya ada perkara yang dibolehkan seperti (lawatan) rumah ke rumah, ceramah kecil-kecilan. Pertemuan kecil-kecilan sepatutnya boleh diadakan,” katanya lagi.

Mohamad Sabu

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) ketika mencelah perbahasan Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) juga mempersoalkan mengapa "perkara pelik" berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini.

“Perkara-perkara pelik berlaku di Malaysia muktahir ini.

“Ahli parlimen tak boleh masuk parlimen dan peliknya masa darurat jangkitan paling tinggi, mati beratus hari.

“Sekarang PRN Melaka lagi pelik. Melaka di bawah Fasa 4 Pelan pemulihan negara (PPN), restoran penuh, pusat beli-belah penuh, majlis kahwin boleh buat, kuliah boleh buat.

“Ceramah tak boleh, kempen tak boleh, (kempen) rumah ke rumah tak boleh,” katanya.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS