Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong (Bebas) mengalu-alukan keputusan kerajaan melarang perhimpunan politik pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Menurut Steven, PRN Melaka diadakan disebabkan sikap pentingkan diri dalam kalangan ahli politik.

"Saya mengalu-alukan pengumuman kerajaan agar perhimpunan politik adalah dilarang pada PRN Melaka mulai 25 Oktober iaitu hari ini bagi mengelak peningkatan kes Covid-19 yang sebelum ini berlaku pada PRN Sabah tahun lepas.

"Kita dalam politik harus setiap masa meletakkan kesihatan rakyat sebagai agenda utama kita.

"Malangnya kita atas kepentingan diri telah menyebabkan pilihan raya Melaka dilakukan pada masa ini yang tidak sesuai bagi rakyat biasa di luar sana," kata Choong di Dewan Rakyat hari ini.

Choong berkata demikian ketika membahaskan usul untuk mengungkaikan Ordinan-Ordinan Darurat di yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pada Februari lalu Choong mengumumkan keluar PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

Langkah sama diambil oleh dua ahli parlimen lain, iaitu Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Ketiga-tiga ahli parlimen berkenaan kemudian menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baru setelah Muhyiddin yang juga merupakan presiden Bersatu, hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam perbahasannya hari ini, Choong mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat pada PRN Melaka untuk mengelakkan penularan  Covid-19.

Antara yang dicadangkan termasuk melarang penyokong parti politik berkumpul pada hari penamaan calon dan hari mengundi serta menghehadkan jumlah pengundi yang dibenarkan memasuki pusat mengundi pada satu-satu masa.

PRN Melaka diadakan selepas empat anggota dewan undangan negeri (Adun) menarik sokongan mereka terhadap ketua menteri Melaka, Sulaiman Ali.

Mereka ialah bekas ketua menteri Melaka Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Tarikh mengundi ditetapkan pada 20 November, manakala hari penamaan calon dijadualkan pada 8 November.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS