Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PM perlu jelaskan rasional di sebalik langkah hidupkan semula projek paip'
Diterbitkan:  Oct 25, 2021 2:32 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu menjelaskan rasional di sebalik keputusan menghidupkan semula Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) pada Februari lalu, menurut Transparency International Malaysia (TI-M).

NGO antirasuah itu mengkritik keputusan kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini tanpa penerangan jelas berkenaan faktor kewangannya.

"Ismail Sabri memimpin di saat amat penting untuk mengembalikan kepercayaan terhadap kebolehan kerajaan mengendalikan projek yang benar-benar memanfaatkan rakyat.

"Semua perbelanjaan untuk projek ini menggunakan dana awam, iaitu duit rakyat.

"Dia perlu melakukan lebih lagi untuk menunjukkan projek kerajaan dilaksanakan untuk manfaat rakyat dan bukan disalah guna untuk manfaat peribadi," kata Presiden TI-M Muhammad Mohan.

Justeru, TI-M menggesa kerajaan menjelaskan langkah menghidupkan semula projek TSGP dan kemungkinan penerusan projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP).

"Dua projek ini, yang dimulakan oleh pentadbiran BN yang terdahulu, dibatalkan kerajaan PH pada Ogos 2018 ekoran kedudukan kewangan kerajaan.

"Hakikat yang kerajaan sebelum ini merasakan wajar untuk meneruskannya tanpa ketelusan dari segi memastikan pemenuhan kerja mengikut jadual dan pembayaran yang saksama menunjukkan sikap pentadbiran terhadap isu salah laku dalam projek kerajaan," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan parlimennya mendedahkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin telah menghidupkan semula kedua-dua projek pada Februari lalu.

Muhammad juga menggesa kerajaan komited dalam meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pemerolehan kerajaan.

"Projek mega seperti TSGP sepatutnya ada perjanjian integriti dengan piawaian antarabangsa, yang memerlukan pemantauan bebas terhadap pemerolehan kerajaan dan penyiapan projek," katanya lagi.

Projek TSGP dan MPP diluluskan pentadbiran BN sebelum ini, yang memberikannya kepada China Petroleum Pipeline Bureau pada November 2016.

Projek itu dikendalikan Suria Strategic Energy Resources (SSER) - subsidiari milik penuh Kementerian Kewangan yang diwujudkan pada tahun itu untuk memantau pelaksanaan kedua-dua projek.

MPP membabitkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra di Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.

TSGP pula adalah pembinaan saluran paip gas 662 kilometer dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, Sabah, dengan kos 3.08 bilion yuan dan RM2.14 bilion atau kira-kira RM4.06 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS