Mahkamah hari ini setuju untuk memulangkan sementara pasport milik Muhammad Shafee Abdullah agar peguam itu dapat ke New York, Amerika Syarikat bagi menguruskan anak lelakinya yang menyambung pengajian di sana.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Muhammad Jamil Hussin hari ini membenarkan permohonan itu dan memulangkan pasport Shafee bermula hari ini hingga 3 Disember ini.
Keputusan itu setelah tiada bantahan dibangkitkan timbalan pendakwa raya S Nithia.
"Selepas mendengar permohonan pemohon dan afidavit sokongan, dan membaca afidavit okongan, penghujahan dan dengan responden (pendakwaan) tiada bantahan terhadap permohonan, saya benarkannya," kata Jamil.
Terdahulu, Shafee menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebahgai sebahagian daripada syarat ikat jamin bagi perbicaraan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.
Terbaru, mahkamah turut setuju untuk memulangkan sementara pasport Najib, isterinya Rosmah Mansor dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Ketiga-tiganya masih berdepan perbicaraan atas pelbagai tuduhan jenayah di mahkamah.
Menurut salinan notis usul Shafee, peguam itu meminta akses sementara pasport kerana dia perlu ke New York pada 27 Oktober dan berada di sana sehingga 30 November.
Katanya, dia perlu ke sana untuk bertemu anaknya dan membantunya yang melanjutkan pengajian di New School Parson di sana.
Dia berkata, pasportnya perlu dipulangkan sementara kepadanya paling lewat hari ini, agar dia boleh membuat persiapan untuk terbang ke sana.
Dia juga berjanji akan mengembalikan pasportnya kepada mahkamah selewat-lewatnya 3 Disember.