Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Biskut Hup Seng selamat untuk dimakan'
Diterbitkan:  Oct 24, 2021 5:19 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Pengeluar biskut tempatan Hup Seng Perusahaan Makanan Sdn Bhd menjelaskan bahawa biskut yang dikeluarkan syarikat itu selamat untuk dimakan oleh orang ramai.

Ini susulan dakwaan Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) yang mendapati terdapat unsur penyebab barah yang terkandung dalam biskut keluaran syarikat berkenaan.

"Kami ingin memberitahu bahawa biskut cream cracker yang dihasilkan dan dipasarkan di Malaysia selamat untuk dimakan dan sesuai dengan peraturan tempatan mengenai standard kualiti dan keselamatan makanan.

"Kami akan berikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dalam setiap siasatan mereka jika diperlukan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan kakitangan setia kami atas sokongan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

The South China Morning Post pada Isnin lalu melaporkan penemuan HKCC daripada 60 sampel biskut dan keropok yang dijual di Hong Kong - termasuk dari Hup Seng - mengandungi unsur penyebab barah seperti glisidol dan akrilamida.

"Kami percaya bahan cemar ini boleh dielakkan kerana menurut penemuan kami beberapa bahan dalam biskut ini adalah minyak sawit. Anda boleh meminimumkan bahan cemar sebanyak mungkin," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HKCC, Gilly Wong Fung-han.

Badan pengguna itu juga mendapati sebanyak 40 peratus produk yang dianalisis mempunyai label nutrisi mengelirukan.

Mengulas isu tersebut, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat lalu berkata siasatan awal mendapati premis kilang Hup Seng adalah pemegang sijil Sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) KKM.

Ia juga mengatakan Acrylamide dan glycidol merupakan bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan bahan makanan, namun bahan tersebut boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses bersesuaian.

Mengenai isu label pemakanan yang mengelirukan, bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM berkata garis panduan di Malaysia membenarkan syarikat menyatakan angka berdasarkan kiraan atau analisis, dan juga menyatakan jumlahnya dalam julat yang dibenarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS