Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH Pulau Pinang didaftar secara rasmi
Diterbitkan:  Oct 24, 2021 4:29 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah didaftarkan secara rasmi selepas Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS) menerima permohonan pendaftaran daripada gabungan berkenaan.

Setiausaha Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang, Lim Hui Ying berkata, permohonan dikemukakan oleh PH sebelum ini di bawah Seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 3350).

Susulan daripada itu, katanya, satu perjumpaan khas di antara Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang bersama ketua setiausaha sekretariat gabungan itu, Saifuddin Nasution Ismail telah diadakan pada 22 Oktober lalu di Wisma DAP Pulau Pinang.

"Pada perjumpaan tersebut, sijil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang berkenaan turut disampaikan secara rasmi kepada Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

"Berikutan dengan penubuhan secara rasminya Pakatan Harapan Pulau Pinang, kerjasama dan silaturahim yang lebih erat dapat dijalinkan di antara parti-parti komponen Pakatan Harapan, iaitu PKR, DAP dan Amanah," katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang dipengerusikan oleh Chow Kon Yeow yang juga merupakan ketua menteri dan pengerusi DAP Pulau Pinang.

Chow dibantu oleh Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PKR) selaku timbalan pengerusi 1 dan Dr Roslan Ahmad (Amanah) selaku timbalan pengerusi 2.

Sementara jawatan setiausaha disandang oleh Lim Hui Ying (DAP), Sim Tze Tzin (PKR) selaku bendahari, Lee Wei Seang (DAP) selaku ketua pemuda dan Dr Norlela Ariffin (PKR) selaku ketua wanita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS