Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH Sabah: Semangat dwipartisan di persekutan perlu diluaskan ke negeri
Diterbitkan:  Oct 24, 2021 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Majlis pimpinan PH Sabah berpandangan semangat kepimpinan dwipartisan di peringkat persekutuan antara gabungan itu dengan kerajaan perlu diperluaskan di peringkat negeri itu.

Menurutnya, ia agar fokus boleh disatukan ke arah pemulihan dan pembangunan semula Sabah.

Kerajaan Sabah setakat ini belum secara jelas tampil dengan strategi membangunkan semula ekonomi negeri yang menurut mereka perlu dirangka dan dilaksanakan segera, bersama-sama strategi pemilihan kesihatan awam, kata PH Sabah lagi.

“Ianya bukan lagi soal politik, tetapi kepentingan umum rakyat Sabah.

“Semua tenaga dan sumber yang ada sepatutnya digunakan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula kesan krisis akibat pandemik Covid-19 ini.

“PH Sabah selaku gabungan parti yang berorientasikan polisi berpendapat semangat dwipartisan sepertimana dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan boleh dipanjangkan di peringkat kerajaan negeri supaya fokus boleh disatukan ke arah pemulihan dan pembangunan semula Sabah pada tempoh ketika ini,” menurut gabungan itu dalam kenyataan hari ini.

Ia termasuk agenda reformasi yang diuar-uarkan oleh kerajaan pusat mengenai hal berkaitan seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), katanya lagi.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi PKR Sabah Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah Poon Ming Fung, Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu, dan Presiden Upko Madius Tangau.

Christina Liew

Majlis Pimpinan PH Sabah turut berkata, kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada program vaksinasi dalam menuju fasa pemulihan pandemik Covid-19.

“PH Sabah berpendapat bahawa strategi pemulihan kesihatan awam, disusuli dengan pembangunan semula ekonomi dan infrastruktur di Sabah harus dirangka dan dilaksanakan segera.

“Kerajaan negeri seharusnya memainkan peranan yang lebih pragmatik dan telus berkenaan program pemulihan dan pembangunan semula kerana pandemik Covid-19 telah mewujudkan satu krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia kini menjadi kepentingan umum rakyat Sabah untuk menagih perkhidmatan terbaik daripada kerajaan,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, Liew berkata draf awal cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah hampir siap.

Dia mendakwa perbincangan mengenai cadangan MoU itu bermula kira-kira sebulan lalu, dengan semua parti komponen terlibat secara aktif dalam perbincangan tersebut.

"Semua komponen telah terlibat secara aktif dalam perbincangan di bawah payung besar Agenda Reformasi Sabah yang menekankan kepada kestabilan kerajaan, pemulihan ekonomi dan pengawalan Covid-19 di Sabah," kata Liew.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS