Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam: 456 kematian dalam tahanan direkodkan tahun lalu

Sebanyak 456 kematian dalam tahanan dilaporkan untuk sepanjang 2020, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pesuruhjayanya Jerald Joseph berkata angka itu termasuk 363 kematian direkodkan oleh Jabatan Penjara, 50 kematian direkodkan Jabatan Imigresen, 34 oleh polis, dan sembilan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam satu sidang media semalam, Jerald berkata, faktor kesihatan kekal menjadi punca utama kematian dalam tahanan, dengan Covid-19 turut menyumbang kepada angka tersebut pada tahun lalu.

“Oleh itu, kerajaan wajar memastikan bahawa piawaian kesihatan dalam tahanan setara dengan piawaian kesihatan untuk orang awam lain.

“Peruntukan belanjawan dan sumber manusia harus disalurkan untuk pengurusan pusat-pusat tahanan dengan matlamat untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan di situ,” katanya.

Jerald turut mencadangkan penubuhan Unit Kesihatan Dalam Tahanan yang berperanan menguruskan perkhidmatan kesihatan di pusat tahanan.

Jumlah kematian dalam tahanan bagi tahun ini tidak didedahkan.

“Satu kematian dalam tahanan saja pun sudah terlalu banyak. Ia tak harus berlaku,” kata seorang lagi pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai, sebagai maklum balas terhadap statistik berkenaan.

“Selama bertahun-tahun, kami sentiasa berpandangan bahawa adalah lebih baik untuk diadakan satu Akta Koroner yang berasingan,” katanya.

Cari punca bunuh diri

Mah berkata cadangan itu dirasakan wajar jika dibandingkan dengan sistem yang sekarang bagi menyiasat sesuatu kes kematian dalam tahanan.

Kata Mah, akta berkenaan akan dapat membantu polis dan mahkamah untuk menentukan batasan kuasa dan tugas mereka, selain majistret dan hakim mahkamah sesyen juga boleh bertindak selaku koroner dalam sesuatu inkues.

Dalam sidang media semalam, Suhakam mengumumkan dapatan serta syornya untuk isu-isu hak asasi manusia, seperti kematian dalam tahanan jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan pekerja asing warga Nepal di Malaysia, serta vaksinasi Covid-19.

Ia dijalankan hibrid di Ibu Pejabat Suhakam di Kuala Lumpur. Selain Jerald dan Mah, ia turut dihadiri seorang lagi pesuruhjayanya, Madeline Berma.

Mah Weng Kwai

Berhubung kadar kematian pekerja warga Nepal yang tinggi, Suhakam mendedahkan dari Jan 2018 hingga Julai 2021, terdapat 1,158 kematian membabitkan warganegara berkenaan.

Punca utama kematian mereka kata Suhakam ialah bunuh diri, kemalangan tempat kerja, pneumonia (radang paru-paru) dan Covid-19.

Dianggarkan terdapat 300,000 pekerja warga Nepal di Malaysia pada masa ini.

Bagaimanapun, Jerald mengakui tentang limitasi dapatan Suhakam ekoran kurangnya data tentang pekerja asing.

“Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan harus melihat lebih lanjut akan isu kematian pekerja warga Nepal.

“Apa punca kejadian bunuh diri? Adakah tekanan, (isu) kesihatan mental? Adakah syarikat menyediakan dasar sumber manusia yang dapat membantu pekerja-pekerja asing ini?” soalnya.

Meskipun Covid-19 mungkin menjadi faktor penyumbang kepada kadar kematian yang tinggi itu, katanya, 1,158 kematian masih lagi merupakan angka yang tinggi, justeru dia menggesa agar kerajaan untuk mengambil tindakan.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS