mk-logo
Berita
Lim anggap kata-kata Zahid 'tak boleh dipakai' untuk PRN Melaka
Diterbitkan:  Oct 23, 2021 12:42 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

PRN MELAKA | Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid Hamidi tentang pendirian Umno menguruskan gerak kerja mereka dengan Bersatu sebagai kata-kata yang “tak boleh dipakai”.

Kata Lim, walaupun lazimnya kata-kata daripada seorang presiden Umno adalah muktamad, lain ceritanya apabila ia mengenai Zahid.

Hal itu kerana kata Lim ahli parlimen Bagan Datuk itu boleh dianggap sebagai presiden Umno paling lemah dalam sejarah parti dan ia dapat dibuktikan dalam banyak insiden.

Oleh hal yang demikian, katanya, kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka - kerana Umno tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) - pada pandangan Lim, mungkin tidak akan berlaku.

“Jangan kita terlalu ghairah mengatakan ada pertandingan tiga penjuru - ini mungkin tidak berlaku, kerana sebagai presiden Umno yang paling lemah dalam sejarah Umno, (Ahmad Zahid) cuma boleh cakap takkan kerjasama dengan Bersatu, (tapi) dia tak ada kuasa langsung.

“Biasanya (kata presiden Umno) boleh pakai, tapi saya rasa (kenyataan Zahid kali ini) tak boleh pakai. Kalau tak boleh pakai, kemungkinan pertandingan tiga penjuru tak akan berlaku," katanya.

Justeru Lim mencabar agar Ahmad Zahid dan Umno membuktikan pendirian tersebut benar-benar muktamad, bukannya berubah selepas ini.

“Buktikan. Zahid Hamidi cakap tak akan bekerjasama dengan Bersatu, ini (akan) jadi (atau) tak jadi? Saya rasa dia begitu lemah, (maka) tak (akan) jadi.

"Kalau dia benar-benar berkuasa, buktikan dalam aspek calon, tak kerjasama dengan Bersatu, bertanding sendiri,” katanya kepada media di Bukit Bendera, Pulau Pinang.

Kehendak tarik sokongan tak disambut

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian sebagai memberikan respons terhadap kenyataan Ahmad Zahid bahawa Umno memang tidak akan bekerjasama dengan PN.

Pada masa sama Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula menyatakan mereka yang akan meletakkan calon di kesemua 28 kerusi DUN Melaka kerana tidak lagi dapat terus menunggu pengesahan Umno.

Malaysiakini hari ini melaporkan, antara punca utama Umno dan PN tidak boleh bekerjasama ialah kerana isu pengagihan kerusi khususnya melibatkan kawasan majoriti Melayu. 

Kata Lim, sebenarnya PN tidak akan membuat keputusan mahu meletakkan calon di semua kerusi jika bukan kerana Ahmad Zahid yang terlebih dahulu menyatakan enggan bekerjasama.

Ahmad Zahid kini mengemudi Umno selepas BN ditumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Namun, kepemimpinannya berdepan kritikan termasuk dari dalam parti sendiri, manakala kredibilitinya dipertikaikan apabila ramai wakil rakyat Umno keluar parti untuk menyertai Bersatu, menyebabkan timbul desakan agar dia meletak jawatan.

Ekoran itu, dia menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan, sebelum kembali menyambung tugas selepas beberapa ketika.

Meskipun Umno dilihat semakin kembali kembali mendapat kepercayaan rakyat menerusi siri pilihan raya kecil dan PRN Sabah (disertai bersama PN), perpecahan dalaman Umno memang tidak dapat disembunyikan.

Paling ketara ialah pendirian Ahmad Zahid yang mahu ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri yang dibangkang secara terang-terangan oleh sebahagian pemimpin Umno dan BN, termasuk naib presidennya Ismail Sabri Yaakob.

Kedudukan Muhyiddin bagaimanapun akhirnya runtuh selepas segelintir ahli parlimen Umno mengisytiharkan langkah mereka untuk tidak lagi mendukung ahli parlimen Pagoh itu pada Ogos lalu.

Ismail Sabri kemudian dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin.

Pada 19 Okt, Ahmad Zahid dilaporkan berkata soal kerjasama Umno-BN dengan pihak lain hanya akan diputuskan selepas mesyuarat di tiga peringkat parti yang dijadualkan minggu depan. 

Namun, selepas PN berkata akan bertanding di 28 kerusi dalam pertembungan tiga penjuru kerana tidak mahu terus tertunggu-tunggu keputusan Umno, Zahid berkata tidak timbul isu lewat membuat keputusan kerana Umno memang tidak mahu dan “tidak akan pernah” bekerjasama dengan Bersatu seperti diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno Mac lalu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS