Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dos penggalak Pfizer akan diberi pada penerima vaksin Sinovac

Kementerian Kesihatan (KKM) akan melanjutkan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) kepada individu yang telah lengkap dos vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya selepas tiga bulan penerimaan dos kedua vaksin itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemberian dos penggalak secara heterologous itu adalah secara penggunaan off-label dan akan diberikan kepada penerima vaksin Sinovac yang layak mulai esok secara berfasa di seluruh negara.

“Sebagai permulaan, dos penggalak ini akan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunisation daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bersidang pada 4 hingga 7 Okt lepas.

“Pemberian itu akan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of COVID-19 Vaccination (RECoVaM) dan kajian kesan serius selepas vaksinasi (SAFECOVAC), iaitu bagi semua penerima dos penggalak,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata pemberian dos penggalak itu dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan objektif memastikan tempoh perlindungan optimum kepada penerima vaksin COVID-19 di Malaysia.

Katanya inisiatif itu akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan Protect Health Corporation Sdn Bhd.

“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.

“Kaedah janji temu pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat janji temu melalui sistem yang sedang dibangunkan oleh KKM,” katanya.

Terdahulu Menteri Kesihatan itu berkata pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Okt lepas menggunakan vaksin Comirnaty, melibatkan seramai 47,728 penerima setakat 19 Okt lepas.

Beliau berkata ketika ini pemberian dos penggalak diberikan kepada penerima vaksin Comirnaty sekurang-kurangnya enam bulan yang lepas dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan individu dengan komorbid.

Mengenai situasi pandemik bagi minggu epid ke-41 (10 hingga 16 Okt), Khairy berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mula menunjukkan tren meningkat selepas kebenaran merentas negeri diberikan pada 11 Okt lepas.

Beliau berkata situasi sama turut berlaku di Sarawak, terutamanya bagi pesakit kategori tiga, empat, dan lima, selepas kebenaran rentas negeri diberikan.

“Begitu juga trend kemasukan pesakit COVID-19 kategori tiga, empat, dan lima ke hospital awam di Zon Selatan, dengan Negeri Sembilan mula menunjukkan trend meningkat bermula minggu epidemik ke-40,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan pelancaran Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang akan menelitikan strategi ujian untuk COVID-19 yang lebih jelas seperti konteks apa yang diperlukan untuk melakukan ujian COVID-19.

Katanya dokumen itu akan dimuat naik di dalam laman sesawang KKM pada pagi esok. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS