Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya negeri Melaka akan dimuktamadkan esok, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membentangkan SOP yang dicadangkan mereka kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik (JSPP).

"KKM akan berikan komen esok kerana esok akan dimuktamadkan SOP pilihan raya (Melaka),” kata Khairy dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya apakah langkah KKM supaya penularan Covid-19 seperti yang berlaku pada PRN Sabah dapat dielakkan, Khairy berkata dia mengambil maklum mengenai perkara itu.

“Oleh itu penelitian kami terhadap SOP yang akan disarankan oleh SPR akan mengambil kira apa yang berlaku di Sabah.

"Apa yang akan kami lakukan adalah memastikan apa yang berlaku di Sabah pada waktu itu tidak akan berulang lagi,” kata Khairy.

Selepas PRN Sabah pada September tahun lalu, kes jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat secara drastik dan bertambah buruk.

Khairy berkata ketika itu pemberian vaksin Covid-19 masih belum dilaksanakan.

Pada masa yang sama, dia juga berkata varian Delta tidak merebak di negara ini ketika PRN Sabah berlangsung.

"Oleh itu, kita telah mempertimbangkan semua perkara sebelum kita memberikan komen kami (mengenai SOP yang disarankan oleh SPR)," katanya.

Pilihan raya negeri Melaka diadakan selepas empat Adun - Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu), Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik semula sokongan kepada kerajaan negeri.

Keadaan itu menyebabkan ketua menteri, Sulaiman Md Ali hilang majoriti dan membawa kepada terbubarnya DUN Melaka.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov, manakala 20 Nov untuk hari pengundian. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS