Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan tak rayu keputusan turun had usia mengundi - Peguam
Diterbitkan:  Oct 21, 2021 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Kerajaan Malaysia tidak membuat rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan had usia mengundi di seluruh negara diturunkan kepada 18 tahun.

Peguam Simon Siah berkata, kerajaan tidak memfailkan rayuan sebelum tarikh tutup yang ditetapkan pada 6 Oktober lalu.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh lima anak muda di Sarawak agar kerajaan melaksanakan penurunan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun mulai 31 Disember tahun ini. 

Kerajaan yang merupakan responden dalam tindakan undang-undang itu mempunyai tempoh sehingga 6 Oktober untuk memfailkan rayuan.

“Tidak ada rayuan (oleh kerajaan). Tarikh terakhir untuk membuat rayuan adalah pada 6 Oktober, ”kata Siah yang mewakili lima anak muda itu kepada Malaysiakini.

Perkara itu disahkan oleh seorang lagi peguam, New Sin Yew, yang mewakili 18 anak muda dari gerakan Undi 18.

Mereka sebelum ini mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar kerajaan melaksanakan pindaan perlembagaan untuk menurunkan had usia mengundi.

Pindaan perlembagaan yang dimaksudkan adalah berkaitan Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

New berkata, oleh kerana kerajaan tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah tinggi di Kuching itu, Undi 18 membuat keputusan untuk menarik balik tindakan undang-undang berkenaan.

"Mahkamah Tinggi di Kuching telah membatalkan keputusan kerajaan untuk menagguhkan pelaksanaannya dan mengarahkan kerajaan menjalankan Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 31 Desember 2021.

"Kerajaan telah setuju untuk melakukan hal yang sama dan tidak memfailkan rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi di Kuching itu, ”jelas New.

Hari ini pada mulanya ditetapkan bagi mengetahui keputusan berhubung tindakan undang-undang oleh Undi 18 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dua hari lalu, portal berita dalam talian Free Malaysia Today melaporkan Undi 18 telah mengemukakan notis untuk tidak meneruskan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 21 September lalu, Menteri di Jabatan perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan tidak akan merayu keputusan berkenaan.

Pada 25 Mac, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penangguhan pelaksanaan undi 18, termasuk pendaftaran pengundi automatik, sehingga 1 September tahun depan.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had usia mengundi diluluskan semasa pentadbiran Pakatan Harapan dua tahun lalu.

Setelah mengambil alih kerajaan pada Mac tahun lalu, pentadbiran perdana menteri Muhyiddin Yassin ketika itu mengatakan penurunan had usia mengundi hanya akan dilaksanakan mulai September 2022 - yang bermakna kemungkinan dilaksanakan selepas pilihan raya umum.

Bagaimanapun kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilihat bersetuju dengan penurunan had usia mengundi dan memberi jaminan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS