Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes projek solar: Pendakwaan dibenarkan bangkit kes pengubahan wang haram Rosmah

Pihak pendakwaan dibenarkan membangkitkan kes pengubahan wang haram Rosmah Mansor dalam perbicaraan kes rasuah projek solar hibridnya.

Namun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pendakwaan agar mengehadkan soalan mereka setakat hakikat yang dia didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu berhubung permohonan timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram untuk membangkitkan kes pengubahan wang haram ketika pemeriksaan balas terhadap Rosmah dalam perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid.

Isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu sedang dibicara ke atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek berjumlah RM1.25 bilion itu untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Pada masa sama, dia juga dihadapakan dengan pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakkan cukai melibatkan RM7,097,750 - juga berkaitan projek itu - yang belum dibicarakan.

Mohamed Zaini menetapkan had itu bagi mengurangkan sebarang prejudis yang mungkin dihadapi Rosmah ekoran tindakan pendakwaan membangkitkan kes itu.

"Saya mengambil maklum dengan cadangan pendakwaan untuk memeriksa balas tertuduh berkaitan dakwaan yang dihadapi di bawah Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001) dan dakwaan pernyataan bank, serta dakwaan deposit oleh (individu bernama) Roslan Sohari.

"Saya berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang memuhi syarat di bawah Seksyen 54(2)(b) Akta Keterangan 1950.

"Bagaimnapaun, saya tak benarkan soalan ditanya berhubung fakta pertuduhan Amla yang dihadapi tertuduh, melainkan yang dia didakwa mengikut akta itu.

"Nilai pembuktian dalam hasrat pendkawaan untuk membangkitkan (kes pengubahan wang haram) tidak mengatasi unsur prejudis yang mungkin dihadapi tertuduh," kata Zaini.

Bagi kes rasuah projek solar hibrid, Rosmah, 70, berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam pertuduhan pertama, dia dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM187,500,000, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Dia dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah dituduh secara tidak jujur, menerima RM1,500,000 untuk dirinya dari Saidi atas tujuan sama di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ Duta‬ pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan RM5 juta dari Saidi melalui Rizal untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS