Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata bahawa gabungan itu tidak terburu-buru dalam menangani hasrat empat Adun dari Melaka yang dikatakan ingin menyertai PH.
Jelas Anwar, keempat-empat Adun itu - Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) - belum menghantar permohonan secara rasmi.
"Mereka tidak menghantar permohonan secara rasmi, walaupun telah menyatakan hasratnya untuk menyertai PH.
"Jadi, kami perlu tunggu dan kami tak nak bertindak terburu-buru. Dan akan memberi masa dan peluang kepada mereka untuk menghubungi kami," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas tawaran empat Adun berkenaan yang menyatakan ingin menyertai PH selepas mereka menarik balik sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali.
Tindakan keempat-kempat Adun itu menarik sokongan mereka terhadap Sulaiman membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu, dan seterusnya membuka jalan bagi PRN Melaka.
Untuk rekod, Noor Effandi dan Norhizam menang di PRU14 atas tiket PH sebelum berpaling tadah untuk menubuhkan kerajaan negeri pimpinan BN di Melaka.
Mengulas pandangan DAP yang bertegas tidak akan menerima bekas Adun parti mereka, Norhizam untuk dicalonkan semula, Anwar berkata: "Kita tunggu dulu, tapi kita hormati juga pandangan DAP dan kita faham alasan (mereka).
"Tetapi oleh kerana perkara itu belum ke tahap permohonan, perbincangan yang serius jadi kita tidak bincang lebih daripada itu," katanya.
Selain Lim, beberapa pimpinan PKR juga tidak senang dengan kemungkinan empat Adun berkenaan menyertai PH, termasuk Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR Tian Chua yang turut hadir mesyuarat malam ini memberi saranan agar PH bergabung dengan mana-mana pihak yang boleh memberi kemenangan.
Mesyuarat malam ini turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail. Mesyuarat bermula kira-kira jam 4.30 petang.
Sementara itu, Anwar berkata bahawa mesyuarat hari ini mengambil keputusan untuk PH berjumpa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Keperluan menemui SPR segera.
"Kita tak nak SPR diperalatkan untuk melanggar peraturan yang bercanggah dengan semangat kekebasan bersuara," katanya.