Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH harus 'bergabung' dengan pihak yang boleh beri kemenangan - Tian Chua

PRN MELAKA | Seorang pemimpin kanan PKR berkata Pakatan Harapan (PH) harus "bergabung" dengan mana-mana pihak yang dianggap boleh membawa kemenangan kepada gabungan itu bagi mengembalikan mandat rakyat yang diperoleh pada 2018.

Menurut Naib Presiden PKR Tian Chua mengenai taktik pula, hal itu akan dibincangkan secara terperinci namun matlamat utama ialah bersatu menghadapi BN atau Perikatan Nasional (PN) dan mencapai kemenangan melalui taktik.

"Secara taktik kita harus bergabung dengan mana-mana pihak yang boleh memberi PH kemenangan.

"Itu taktik kita harus pertimbangkan di lapangan (iaitu) dengan apa saja cara yang terbaik untuk menang kerusi yang paling banyak," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di Petaling jaya, hari ini.

Terdahulu, mantan ahli parlimen Batu itu menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh pengerusi gabungan tersebut, Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail. Mesyuarat bermula kira-kira jam 4.30 petang.

Ketika ditanya agenda mesyuarat hari ini, Tian berkata, ia tertumpu kepada hal berkaitan taktik mereka untuk memenangi PRN Melaka.

Tian juga menambah mesyuarat hari ini tidak memberikan perhatian khusus terhadap isu empat bekas Adun penyokong kerajaan yang menyatakan hasrat mereka untuk menyertai PH.

"Kita tidak masuk kepada secara mendalam seorang demi seorang. PKR sendiri tidak tahu siapa calonnya," katanya.

Sebelum ini mesyuarat dijangka menumpukan perbincangan mengenai status bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, dan tiga Adun kerajaan yang menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan BN-PN di Melaka.

Keempat-empat bekas Adun terbabit dikatakan berminat menyertai PKR.

Selain Idris, tiga Adun yang lain ialah Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) yang sebelum ini bersama DAP, Adun Telok Mas, Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan Adun Pantai Kundor, Azman Hassan (Umno).

Namun, difahamkan beberapa pemimpin PH, termasuk anggota PKR sendiri kurang senang dengan langkah empat Adun tersebut. Untuk rekod dua daripada mereka memenangi kerusi masing-masing atas tiket PH semasa menyertai PRU ke-14 pada 2018.

Antara yang mengkritik tawaran tersebut adalah Lim sendiri, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS