Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi tegur pemimpin PKR tertentu yang 'ghairah' di Melaka
Diterbitkan:  Oct 20, 2021 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Tindakan pembangkang 'melayan' empat bekas Adun penyokong BN-Perikatan Nasional Melaka terus mencetuskan rasa kurang senang dalaman ketika semua parti sedang membuat persediaan menghadapi pilihan raya negeri.

Kali ini Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, secara terbuka memberikan bayangan bahawa tindakan sebegitu boleh membawa kesan negatif kepada Pakatan Harapan (PH).

Malah bekas ahli parlimen Pandan itu juga menunjukkan rasa kurang senang itu walaupun mungkin ada pihak yang menganggap langkah tersebut adalah sebahagian daripada strategi mereka.

Sebagai pengundi dan "orang lama parti" katanya menerima watak-watak yang "dipandang serong" sebegitu adalah kesilapan yang hanya akan menghakis keyakinan rakyat.

"Janganlah ambil jalan singkat atas nama strategi," ciapnya di Twitter.

Sementara itu di Facebook pula Rafizi - yang sudah lama jarang membuat hantaran mengenai politik - memberitahu dia menerima banyak mesej yang menyatakan kebimbangan terhadap langkah pembangkang meraikan bekas Adun berkenaan.

"Watak-watak ini mempunyai rekod buruk.

"Akhlak (bekas) Adun yang suka memaki hamun bukanlah jenis calon yang kita mahu tampilkan," katanya.

Rakyat akan menilai

Kerajaan negeri Melaka yang menggabungkan BN dan PN runtuh selepas empat penyokongnya menarik balik dukungan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Gerakan itu membabitkan Adun Sungai Udang yang juga bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, bersama Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Dua daripada mereka adalah calon yang bertanding mennggunakan tiket PH pada PRU 2018.

Sulaiman kemudian menasihatkan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam agar membubarkan DUN bagi membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Ekoran terbubarnya DUN Melaka itu, Suruhanjaya Pilihan Raya yang bermesyuarat pada 18 Okt lalu menetapkan agar PRN diadakan pada 20 Nov ini.

Kata Rafizi mungkin ada pemimpin tertentu dalam PKR mendapati kemelut politik di Melaka itu adalah peluang untuk mereka menjadi "orang besar" namun tambahnya jangan dijadikan keghairahan itu mempengaruhi pertimbangan.

"Mungkin ada keghairahan seorang dua pimpinan PKR yang melihat ini peluang untuk menjadi orang besar di Melaka, tetapi janganlah keghairahan itu mempengaruhi keputusan dengan mencari jalan pintas," katanya.

Dia kemudian menyatakan, pandangan itu dibuat atas tanggungjawabnya sebagai seorang rakyat, pengundi dan juga aktivis veteran dalam PKR/PH selama ini.

"Kalau tak nak dengar pun, ha ha ha... lantaklah, tapi rakyat akan menilai," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS