mk-logo
Berita
Iktiraf UEC: Tanyalah kekasih barumu sayang, kata Maszlee pada Dong Zong
Diterbitkan:  Oct 19, 2021 5:56 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik, meminta pertubuhan pendesak Cina, Dong Zong, merujuk kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan bukan dirinya.

Maszlee berkata hal itu kerana dia tidak lagi bertanggungjawab dalam isu terbabit selain tidak lagi berada dalam kerajaan.

"Kehadapan DZ (Dong Zong), saya tahu anda masih tidak dapat melupakan saya.

"Saya masih ingat bagaimana anda begitu tangkap cintan dengan saya dalam isu Jawi (yang nampaknya anda katakan OK sekarang).

"Saya tidak lagi berada dalam kerajaan sayang, tolong tanya kekasih baru awak... dia yang bertanggung jawab sekarang," ciap Maszlee di Twitter.

Ciapan itu adalah reaksi ahli parlimen Simpang Renggam berkenaan terhadap kenyataan Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim, yang dilaporkan menggesa bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching, menjelaskan mengapa pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini gagal mengemukakan laporan bagi mengiktiraf UEC kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti sepatutnya.

Walaupun secara jelas tidak menamakan siapa "kekasih baru" yang dimaksudkan Maszlee namun dia turut melampirkan ciapan itu dengan poster Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini pernah menyarankan agar kerajaan - ketika itu ditadbir Pakatan Harapan (PH) - mengharamkan Dong Zong.

Tertangguh hingga Langkah Sheraton

Pada Ogos 2019, semasa menjadi pembangkang beberapa pemimpin Umno dan PAS lantang mengkritik Dong Zong yang dianggap sebagai pelampau.

Antara yang menonjol mengkritik pertubuhan tersebut ialah Ismail Sabri yang ketika itu menjadi ketua pembangkang.

Dong Zong pula ketika itu begitu lantang berkempen menolak rancangan kerajaan memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi - sebanyak hanya empat muka surat - kepada pelajar tahun empat di sekolah rendah jenis kebangsaan. 

Memetik kenyataan naib presiden Umno itu UmnoOnline melaporkan Ismail Sabri memberi peringatan kepada Dong Zong agar tidak menjadi "pelampau Cina" yang akhirnya membakar kemarahan orang Melayu Islam.

Ahli parlimen Bera itu juga mencabar kerajaan PH supaya mengharamkan Dong Zong.

Semasa menjadi kerajaan selepas PRU ke-14, PH menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji dasar UEC pada Okt 2018 dan berjanji untuk mengiktiraf sijil pendidikan berkenaan dalam manifesto pilihan rayanya.

Pasukan petugas terbabit dijangka mengemukan laporannya kepada kerajaan, namun ditangguhkan beberapa kali sehinggalah PH tumbang akibat Langkah Shereton pada Feb 2020.

Pada Julai 2020 pasukan petugas itu berkata mereka sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengemukakan laporan akhir mengenai hal berkenaan kepada KPM.

Pengerusinya, Eddin Khoo, berkata pihaknya berharap laporan tersebut dapat diserahkan pada Ogos 2020.

Pada Okt 2020, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata, KPM belum menerima laporan berkenaan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Tan berhubung kenyataan Maszlee itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS