Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Desakan mansuh hukuman mati mandatori kian giat disuarakan
Diterbitkan:  Oct 19, 2021 4:21 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Lebih banyak gesaan supaya hukuman mati mandatori dimansuhkan selepas berita mengenai seorang ibu tunggal sembilan anak yang dikenakan hukuman itu selepas memiliki serta mengedar dadah tular baru-baru ini.

Pada 15 Okt lalu Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman mati terhadap Hairun Jalmani, 55, kerana memiliki dan mengedar 113.9g metamfetamin (syabu).

Penjual ikan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Kes Hairun hangat diperkatakan di media sosial selepas rakaman klip video memaparkan dia menangis meminta tolong dalam keadaan tangannya digari menjadi tular.

Mengulas kes itu, Amnesty International Malaysia berkata hukuman mati mandatori bermaksud keadaan hidup Hairun tidak mendapat pertimbangan ketika hukuman dijatuhkan.

NGO itu turut menggambarkan keadaan kehidupan Hairun yang terdesak kerana statusnya sebagai ibu tunggal yang perlu menyara sembilan anaknya di sebuah negeri termiskin di Malaysia.

"Kes ini adalah contoh bagaimana hukuman mati di Malaysia menghukum orang miskin dengan amalan diskriminasi tertentu terhadap wanita.

“Di Malaysia, 95 peratus daripada semua wanita yang dikenal pasti menjalani hukuman mati pada 2019 disabitkan atas kesalahan berkaitan dengan dadah,” kata NGO itu di Twitter.

Beri ruang untuk budi bicara

Menurut Amnesty, faktor-faktor terdapat wanita berdepan dengan kes keganasan, penderaan dan eksploitasi, kurang atau tidak diberi pertimbangan ketika hukuman dijatuhkan.

Amnesty - yang berkempen menentang pelaksanaan hukuman mati - mendesak supaya kerajaan meminda undang-undang bagi membenarkan budi bicara hakim ketika menjatuhkan hukuman.

“Malaysia mesti bergabung dengan 108 negara di seluruh dunia untuk menghapuskan hukuman mati.

"Kami juga menggesa agar pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan segera untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan dan membawa perundangan negara sejajar dengan undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Sementara itu, penyelaras eksekutif Anti Death Penalty Asia Network (Adpan) Dobby Chew juga menggesa agar budi bicara perundangan diberikan ruang dalam menentukan hukuman.

“Bagi mereka yang dituduh mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, anda mempunyai satu peluang untuk membuktikan bahawa anda bukan pengedar dadah,” katanya.

Beberapa anggota parlimen pembangkang sebelum ini turut menzahirkan rasa simpati terhadap kes Hairun dan mendesak agar hukuman mati mandatori dihapuskan.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, menciap di Twitter mengatakan kebanyakan individu yang dijatuhkan hukuman mati adalah golongan miskin dan disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah.

Ahli politik DAP itu berkata dia berikrar akan terus mendesak Putrajaya untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Belum nyatakan pendirian

Senada dengannya ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menekankan ketidaksamaan dalam sistem perundangan negara.

“Saya tak minta dihalalkan buat jenayah. Tapi hukuman itu harus setimpal. Ditangkap dengan 113.9 gram, dari latar belakang keluarga yang terdesak untuk hidup.

“Hukum mati. Sampai bila kitaran kes berkaitan orang susah hidup melarat begini akan berterusan?” ciapnya di Twitter.

Sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), gabungan tersebut dalam manifesto PRU14 sebelum ini berusaha untuk meminda undang-undang dengan memansuhkan hukuman mati mandatori. 

Pada Feb 2020, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad menyatakan pandangannya bahawa hukuman mati mandatori kerana memiliki dadah terlalu keras.

Pada Nov 2020, Perikatan Nasional (PN) berkata kerajaan sedang meneliti alternatif untuk hukuman mati mandatori bersama dengan faktor-faktor seperti pencegahan jenayah dan kesedaran masyarakat. 

Tidak ada sebarang pembaharuan yang dijanjikan atau dibentangkan sebelum kejatuhan PN pada Ogos 2021.

Kerajaan baru yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula masih belum menyatakan pendirian mengenai hukuman mati mandatori.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS